KONTROVERSI ADEGAN “DEWASA” DALAM SEBUAH DRAMA : ISLAM TIDAK MENOLAK KARYA HIBURAN TETAPI IA MESTILAH BERPANDUKAN SYARIAT DAN BATAS AGAMA
Beberapa adegan “dewasa” dalam sebuah drama kontroversi “syurga itu bukan mudah” jelas membuktikan umat Islam akhir zaman pada hari ini semakin kurang cakna terhadap isu sensitiviti dan garis panduan yang diterapkan oleh ajaran Islam dalam seni berkarya. Secara dasarnya, Islam tidak menolak untuk umatnya berhibur asalkan ia tidak menyimpang dari landasan Islamiyyah dan juga batas agama. Namun, terdapat sesetengah orang seni ini terlalu mengejar kemodenan dalam seni berkarya sehinggakan melanggar hukum hakam agama.
Secara asasnya, sebarang bentuk hiburan dan lakonan adalah diharuskan selagi mana tidak menyalahi atau bertentangan dengan hukum syarak. Justeru dalam hal ini apa-apa bentuk lakonan yang mengandungi unsur lucah dan erotik jelas merupakan suatu perkara yang bertentangan dengan syarak. Agama Islam tidak menghalang umatnya dari berhibur selagi mana hiburan tersebut tidak membawa kepada kelalaian dan melanggar batas-batas syarak. Hal ini kerana, Islam adalah sebuah agama yang menyeimbangkan tuntutan dunia dan akhirat.
Harus diinsafi bahawa lakonan yang memaparkan unsur-unsur erotik ini merupakan bibit-bibit yang boleh membangkitkan syahwat. Sekiranya ia ditonton oleh mereka yang belum mempunyai saluran yang sah bagi menyalurkan syahwatnya yakni pasangan suami isteri, pastinya aksi tersebut boleh menjadi mukadimah zina dalam masyarakat khususnya umat Islam sedangkan Allah SWT telah berfirman di dalam al-Quran:
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (QS Al – Isra’: 32).
Sesungguhnya telah jelas lagi nyata bahawa perbuatan yang mengajak ke arah zina adalah suatu perkara yang dilarang dan keji di sisi Islam. Al-Qurtubi menafsirkan bahawa larangan ayat berkenaan bukan sahaja merujuk terhadap larangan perbuatan zina tetapi melibatkan perbuatan yang menyumbang ke arah zina. Tindakan mempertontonkan adegan yang boleh membangkitkan ghairah ataupun syahwat penonton adalah sangat tidak wajar dan bertentangan dengan hukum syarak.
Pesanan buat para penggiat seni tanah air, Islam sama sekali tidak menolak karya dan hiburan tempatan namun anda semua perlulah memikirkan sensitiviti agama Islam di dalam karya anda. Industri seni memberi ruang dan peluang khususnya kepada umat Islam untuk memanfaatkannya bagi menyampaikan mesej kebaikan. hiburan adalah perkara yang dibenarkan dalam Islam selagi mana ia tidak melanggar batas syarak, dilakukan secara sederhana dan tidak melalaikan daripada tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment