MENCEMARI KESUCIAN AL-QURAN MERUPAKAN PENCEMARAN AKIDAH DAN MENYESATKAN

 

Doktrin bermaksud prinsip atau kepercayaan yang dianggap benar dan satu-satunya yang dapat diterima sebagai kepercayaan seterusnya pengamalan. Doktrin ajaran sesat bermaksud beberapa prinsip atau kepercayaan yang menjadi asas kepercayaan seterusnya pengamalan kepada kumpulan-kumpulan ajaran sesat. Contohnya mengingkari Rukun Iman dan Rukun Islam, meyakini turunnya wahyu setelah al-Quran, mengingkari kedudukan hadis Nabi, mengingkari Nabi Muhammad SAW sebagai nabi dan rasul terakhir dan sebagainya.

Mencemari kesucian al-Quran merupakan antara bentuk pencemaran terhadap ajaran Islam yang membawa kepada kesesatan. Mempertikaikan kebenaran al-Quran, mengubah kedudukan dan struktur ayat-ayat al-Quran, membuat pentafsiran menyeleweng tanpa merujuk tafsiran ulama-ulama muktabar Ahli Sunnah Wal Jamaah di samping mendakwa wujudnya kitab suci lain selain al-Quran atau mendakwa bahawa al-Quran yang sedia ada tidak lengkap atau mempunyai kekurangan. Contohnya ajaran Syiah yang mendakwa al-Quran mempunyai kekurangan dan ajaran Bahai mendakwa bahawa kitab suci mereka iaitu al-Bayan memansuhkan semua kitab samawi.

Menolak al-Quran atau mempertikaikan kedudukannya sahaja merupakan kesesatan yang nyata. Sesungguhnya al-Quran merupakan kitab suci yang diturunkan oleh Allah SWT dan dijamin pemeliharaannya daripada sebarang perubahan atau kepalsuan. Al-Quran yang telah dikumpulkan dan disebarkan dengan nama Mushaf Uthmani merupakan al-Quran yang disepakati oleh umat Islam. sekiranya wujud al-Quran yang lain dan menyalahi Al-Qur’an Mashaf Uthmani sama ada wujud pengurangan atau penambahan perkataan, ayat atau surah maka pastinya ia bukan Al-Qur’an yang sebenar.

Sesungguhnya, mana-mana fahaman atau ajaran yang menolak sama ada secara keseluruhan atau sebahagian al-Quran, mempertikaikan keaslian atau kedudukan al-Quran merupakan fahaman atau ajaran yang sesat lagi menyesatkan. Waspadalah!!!

Sumber: Buku Ajaran Sesat: Merungkai Kekusutan & Kecelaruan -MAIS


Comments