Dari pelbagai aspek kehidupan di zaman serba moden ini, segalanya pasti tertumpu pada Barat. Teori-teori dan konsep-konsep sesuatu perkara juga sehingga kini dinormalisasikan kepada masyarakat bahawa semuanya berasaskan daripada tokoh-tokoh ilmuwan Barat. Contohnya Aristotle, Socrates, Plato atau tokoh moden seperti Karl Marx, Nietzsche dan sebagainya. Kini tular pula di laman sosial yang menyatakan tanpa Yahudi maka tidak wujudlah Facebook, Google, Instagram, Processor Intel, USB Flashdisk dan sebagainya.
Sedangkan masyarakat dunia lupa bahawa ketamadunan Islam yang telah dahulu mempelopori pelbagai cabang ilmu pengetahuan dan mencapai kecemerlangan dalam bidang sains dan teknologi semasa Eropah masih berada dalam zaman kegelapan. Dasar setiap media sosial, alat komunikasi, internet dan semua teknologi masa kini adalah berasaskan ‘Binary Code System’ dan ‘Alghorithm’. ‘Algorithm’, ‘Algebra’ dan ‘Binary Code’ ini dicipta oleh tokoh Islam iaitu al-Khawarizmi. Selain al-Khawarizmi, tokoh-tokoh Islam yang lain seperti Ibnu Sina (Perubatan), Ibnu Khaldun (Sains Kemasyarakatan), Ibnu Rushd (Falsafah), al-Biruni (astronomi) dan sebagainya turut menjadi pelopor dalam bidang masing-masing sebelum wujudnya tokoh Barat.
Namun, disebabkan ramai sarjana Barat kemudiannya mengutip keilmuan dan karya ilmuan Islam dan disebarkan ke Perancis, Britain, Jerman dan lain-lain, Eropah dilihat mula membangun dan memindahkan segala kesan-kesan kemajuan Arab-Islam, menterjemahkan dan sekaligus membentuk peradaban dan kebudayaan yang baru. Keruntuhan Empayar Uthmaniah menyaksikan ideologi Barat mula bertapak dan menjajahi pemikiran umat Islam berabad-abad lamanya sehingga kini dilihat ianya telah dinormalisasikan sebagai kepunyaan Barat.
Masyarakat Islam kini yang tidak mempunyai ilmu pasti terhasut dengan propaganda Barat ini yang akhirnya mengagungkan ideologi-ideologi Barat sehingga ke tahap mengadaptasinya ke dalam syariat yang akhirnya syariat pula yang perlu ditafsirkan semula (liberalisme). Kadangkala bukan sahaja yang tidak berilmu, malah berpelajaran tinggi sekalipun tetapi disebabkan terpengaruh dengan ideologi Barat, hanya akal menjadi sandaran dalam membuat sesuatu kesimpulan dan keputusan yang akhirnya terpesong dari akidah Islam yang sebenar. Justeru itu, hati-hati dalam berkata-kata, hati-hati dalam melontarkan fikiran, nescaya ia membawa kesan pada diri, masyarakat dan agama.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia- DIS 2023, Jurnal Usuluddin –Universiti Malaya
Comments
Post a Comment