TAKSUB DAN MENGAGUNGKAN MANUSIA BOLEH MENDORONG PERKEMBANGAN AJARAN SESAT

 

Dikisahkan bahawa Saidina Huzaifah ibn al-Yaman ra pernah bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai fitnah yang berlaku pada akhir zaman, baginda SAW menjawab bahawa pada ketika itu, muncul kelompok manusia yang enggan menjadikan Sunnah dan ajaran tinggalan baginda SAW sebagai sumber beragama. Baginda Nabi SAW turut memberikan gambaran, pada akhir zaman juga akan muncul sekelompok manusia (pendakwah) yang akan menjerumuskan manusia ke dalam api neraka dan kelompok manusia tersebut adalah sebahagian daripada umat Islam sendiri.

Oleh sebab itu, hindarilah sikap taksub kepada seseorang kerana ia merupakan unsur terpenting memunculkan dan membantu perkembangan ajaran sesat. Permulaan kepada penyembahan berhala berpunca daripada sifat mendewa dan mengagungkan manusia, terbukti sejak permulaan penyembahan berhala sebelum zaman Nabi Nuh as, yang pada asalnya bermula dengan sifat ingin menghormati kematian orang soleh tetapi akhirnya bertukar menjadi bahan pemujaan. Ketahuilah Islam mencela perbuatan taksub kepada manusia.

Justeru itu, tuntutlah ilmu agama daripada guru-guru yang bertauliah, Elakkan terpengaruh dengan ajaran yang disampaikan melalui media sosial atau guru yang tidak bertauliah. Elakkan dari terjerumus dengan ajaran-ajaran, sama ada kumpulan tarekat atau ajaran kebatinan yang meragukan. Kenal pasti perlakuan luar biasa ahli keluarga yang terlibat dan menjadi pengikut kumpulan atau ajaran yang meragukan. Segera laporkan aktiviti-aktiviti keagamaan dan kebatinan yang meragukan kepada pihak berkuasa agama dan Polis Diraja Malaysia. Inilah jihad-jihad kecil yang sekurang-kurangnya dapat memberi sumbangan dalam mempertahankan agama Islam.

Sumber: Jabatan Agama Islam Perak


Comments