Tatkala urusan duniawi dipisahkan daripada agama, maka lahirlah daripadanya teori liberalisme dalam kehidupan bermasyarakat. Kita menyaksikan liberalisme kini dalam masyarakat Barat berprinsipkan kebebasan yang melanggar fitrah manusia, sehinggakan manusia bebas seperti binatang dan bersikap melampau lebih daripada binatang kerana menyalahgunakan akal mereka.
Contohnya, dalam aspek politik diciptakan demokrasi kuasa rakyat yang ditipu, apabila politiknya tidak beragama atau bersifat diktator secara individu atau berkumpulan. Fahaman liberalisme ini telah melahirkan pemimpin yang berkuasa dengan menipu, rasuah, meyalahgunakan kuasa dan tidak bermoral. Lantas, kuasa dijadikan peluang kehidupan yang selesa bagi diri atau kumpulannya, manakala pemimpin itu ditaati kerana sifat zalimnya bukan dihormati kerana sifat adilnya.
Allah SWT menyebutnya dalam al-Quran, Surah al-Zukhruf ayat 51-51, yang menceritakan kisah Firaun yang berlagak Maha Berkuasa kononnya dia menciptakan segalanya sehingga sungai jua mengalir di bawahnya, menghina fakir miskin, bertindak zalim dan berlagak memberikan rezeki kepada rakyat Sesungguhnya yang patuh pada pemimpin seperti Firaun ini termasuk dalam golongan yang fasiq.
Begitulah jua dengan kehidupan kini apabila memasukkan fahaman liberal dalamkehidupan. Keadaan ini membawa kegagalan dalam mengurus alam dunia sekali gus menyebabkan kerosakan hidup dan alam sekitar termasuk kehidupan bermasyarakat yang berpunca daripada kesalahan manusia sendiri. Renung-renungkan.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia –JAN 2024, Harakah Daily
Comments
Post a Comment