AZAM 2024 KURANGKANLAH BERKATA PERKATAAN YANG KESAT DAN SENTIASA LAZIMI LIDAH DENGAN PERKATAAN YANG BAIK


Lidah dan mulut adalah salah satu organ manusia yang bakal menentukan pengakhiran sama ada baik atau buruk. Oleh kerana itulah kita harus menjaganya dengan sebaik mungkin. Generasi pada zaman ini jika berbual dengan rakan sebaya pasti akan terkeluar segala semua perkataan mencarut. Asalkan berbual sahaja pasti akan kedengaran bunyi carutan. Perkataan seperti b*d*h, s*l, b*b, a***y dan banyak lagi kedengaran mudah dilazimi pada mulut manusia hari ini.

Apa kata di tahun baru 2024 ini, mari kita mulakan langkah untuk mengurangkan perkataan yang tidak baik dan gantikannya dengan perkataan memuji kalimah Allah SWT seperti berzikir dan membaca al – Quran. Orang-orang yang beriman perlu melazimkan dirinya dengan perkataan yang baik dan doa-doa yang baik, sebagaimana sabda Nabi SAW yang memerintahkan kita agar berkata baik ataupun diam. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (HR Bukhari).

Bahkan Allah SWT juga telah memerintahkan kepada hambaNya untuk berkata tentang perkara yang baik – baik sahaja. FirmanNya:

“…katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik..” (QS al – Baqarah: 83).

Justeru, hendaklah kita benar-benar memanfaatkan mulut dengan mengungkap bicara yang hanya memberi kebaikan buat diri kita dan orang lain. Seorang yang bercakap sesuatu kalimah, ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya ke dalam neraka. Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda:

“Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang berkata kotor untuk memasukinya.” (HR Ibn Abi Dunia dan Abu Naim dari hadis Abdullah bin Amru).

Sebagai seorang muslim perlulah bersifat dengan segala sifat-sifat yang diajarkan oleh Allah SWT dan Nabi SAW. Janganlah sewenang – wenangnya berkata – kata dengan perkataan yang buruk kepada orang lain dengan perkataan seperti fasiq atau kafir. Marilah kita bersama – sama berusaha meninggalkan perkataan melalui ucapan dan perkataan melalui tulisan yang buruk,keji mahupun berbaur kelucahan, agar masyarakat kita subur dengan suasana hidup yang baik lagi harmoni.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 

Comments