Baru – baru ini kita dikejutkan dengan satu “saranan” daripada seorang selebriti yang mahu rumah pelacuran diwujudkan untuk golongan pendatang asing dalam usaha untuk mengurangkan jenayah rogol di kalangan wanita tempatan. Tidak keterlaluan sekira artikel ini menganggap cadangan ini boleh membantu dalam perkara maksiat yang dilarang dalam Islam. Pusat pelacuran menggalakkan zina yang juga suatu perbuatan yang tercela dan boleh mendatangkan kerosakan kepada institusi kekeluargaan dan juga negara Allah SWT berfirman:
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)." (QS al-Isra: 32).
Bahkan, Allah SWT melarang kita bekerjasama untuk menjayakan apa-apa juga program atau aktiviti yang boleh mendatang dosa dan permusuhan seperti dalam firmanNya:
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa melanggar perintahNya).” (QS Al – Maidah: 2).
Maka kita perlu berhati-hati dengan tindakan kita jangan sampai diketegorikan sebagai membantu dalam perkara kemaksiatan. Adalah salah sekiranya kita membantu memberikan cadangan, peruntukan kewangan mahupun menghulurkan derma untuk sesuatu yang bersifat kemaksiatan. Ingatlah, syariat Islam diturunkan untuk menjaga al-dharuriyyat al-khamsah, iaitu: agama, nyawa, keturunan, harta dan akal.
Perbuatan zina dan maksiat lainnya boleh merosakkan objektif syarak dalam memelihara maruah dan keturunan serta agama seseorang. Oleh itu, pandangan yang mengatakan bahawa keperluan rumah pelacuran bagi warga asing yang bekerja di Malaysia dengan tujuan mengelakkan daripada berlakunya kes rogol terhadap golongan wanita tempatan adalah pandangan yang tersasar kerana ia menggalakkan kepada perkara maksiat.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment