CARILAH SAHABAT YANG BOLEH MEMBIMBING KITA KE SYURGA

 

Ramai yang boleh mengaku kawan, tetapi tidak ramai yang boleh mengaku mereka sahabat, apatah lagi sahabat susah senang bersama dan yang ikhlas dalam membimbing kita ke jalan yang benar. Berapa banyak di antara kita yang memiliki sahabat sejati? Pasti sikit bilangannya, apatah lagi di zaman ini ramai yang mengambil kesempatan. Rasulullah SAW bersabda:

Perumpamaan orang yang bersahabat dengan orang soleh dan orang yang bersahabat dengan orang buruk perangai seperti penjual minyak wangi dan tukang kimpal besi. Pasti engkau akan dapat bauan wangi dari penjual minyak wangi samada membeli atau tidak. Sedangkan dari tukang besi kamu akan merasa bahang atau kainmu atau kamu akan mendapatkan bau yang tidak sedap". (HR Bukhari).

Dalam Islam, setiap mukmin digalakkan untuk memilih sahabat. Tujuannya adalah untuk membantu diri dan orang lain dalam setiap urusan agama dan kehidupan seharian. Persahabatan yang dibina atas jalan Allah SWTakan membantu perjalanan di akhirat kelak. Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Zukhruf, ayat 67 yang bermaksud:

"Teman-teman akrab pada hari itu (hari kiamat) sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.”

Antara cara dalam pemilihan sahabat berdasarkan kitab Hidayatul Salikin, Imam al - Ghazali telah menggariskan lima panduan iaitu:

1) Orang yang berakal.
2) Baik dari segi peribadi dan akhlaknya.
3) Orang yang soleh.
4) Orang yang benar perkataannya.
5) Jangan berkawan dengan orang yang sangat kasih pada dunia.

Justeru, carilah sahabat yang hidupnya diletakkan atas memenuhi kehendak Allah SWT. Pilihlah sahabat yang bersungguh-sungguh dalam agama, kerana mereka akan turut mewarnai kehidupan seharian kita dengan nilai-nilai agama.

Sumber: Blog Tarbiah Sentap


Comments