DUNIA AKHIR ZAMAN BANGGA MENAYANGKAN DOSA DI KHALAYAK RAMAI TANPA RASA SEGAN SILU


Dunia kini sudah berada di penghujungnya, di mana ramai di antara kita berbangga untuk menayangkan dosa tanpa segan dan silunya. Sabda Rasulullah SAW:

"Hari kiamat tidak akan terjadi sehinggalah berlaku ilmu diangkat, kebodohan meningkat, khamr (minuman keras) diminum, zina bermaharajalela, rosaknya lelaki, wanita semakin ramai berbanding lelaki..." (HR Bukahri).

Malah lebih menyedihkan, ada yang menjadikan perbuatan dosa itu sebagai sumber pendapatan mereka, yang kemudiannya dimasukkan ke dalam perut dan menjadi darah daging mereka. Nauzubillahiminzalik! Ini seperti laporan akhbar bertarikh 18 Januari lalu di mana seorang lelaki ditahan kerana kesalahan merakam dan menjual video lucahnya sendiri dengan tujuan untuk meraih pendapatan yang tinggi. Jika disabitkan kesalahan, dia boleh didakwa di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Perbuatan mujaharah dengan maksiat iaitu melakukan maksiat secara terang-terangan adalah di antara dosa besar yang dicegah dalam agama. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain..” (HR Bukhari).

Gejala berbangga dengan dosa dan suka mendedahkan maksiat sendiri ialah petunjuk kebencian atau kemarahan Allah SWT terhadap seseorang hamba. Ini seperti yang diterangkan Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya, Fath al-Bari di mana sesiapa dengan sengaja menzahirkan maksiat yang dilakukan diri sendiri atau menceritakan dosa mereka kepada orang lain, Allah SWT sangat marah kepada mereka hingga (dengan sebab itu) Allah SWT tidak menutup keaiban mereka (iaitu keaiban mereka didedahkan, bahkan oleh mereka sendiri).

Perbuatan ini menunjukkan Allah SWT mencabut rasa malu daripada diri hingga tidak berasa segan mendedahkan keaiban diri, malah perbuatan itu tidak mendapat pengampunanNya. Malah bencana dan musibah sering berlaku kini juga kerana kemurkaan Allah SWT di atas maksiat dan dosa berleluasa di muka bumi ini. Maka dari itu, marilah kita sama – sama bermuhasabah diri dan tekad untuk menjauhi perkara – perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Semoga Allah SWT memelihara kita dan keturunan kita daripada perkara – perkara yang tidak baik, Aamiin.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 

Comments