JANGAN SESEKALI MEMANDANG REMEH DENGAN SEDIKIT KEBAIKAN KERANA IANYA MULIA DI SISI ALLAH SWT


Setiap orang pasti ada melakukan kebaikan. Muslim yang melakukan kebaikan akan menerima ganjaran daripada Allah SWT. Cumanya pandangan manusia berbeza-beza terhadap sesuatu amalan kebaikan. Ada yang melihat sesuatu amalan itu sangat kecil jika dibandingkan dengan amalan lain yang baginya lebih besar. Hakikatnya pandangan manusia tidak boleh dijadikan asas dalam menentukan nilai amalan di sisi Allah SWT.

Sebagai contoh, dengan apa yang dilakukan oleh seorang influencer yang juga penyanyi terkenal tanah air, Alif Satar yang menyeru kepada semua umat Islam ke arah kebaikan dengan mewujudkan #gengsubuhmacamjumaat dengan tujuan untuk menarik lebih banyak umat Islam khususnya golongan belia untuk bersolat subuh dan memenuhkan masjid – masjid di kawasan mereka. Namun apa yang mendatangkan sedikit kekecewaan adalah sikap sesetengah manusia atau lebih tepat lagi disebut sebagai netizen yang tidak senang dengan kebaikan yang dibawa oleh penyanyi tersebut yang dianggap seperti mencari populariti dan mendakwa jemaah yang hadir ke masjid untuk solat subuh adalah semata – mata kerana kehadiran penyanyi tersebut sahaja.

Ada perkara yang perlu kita tahu, Allah SWT menjelaskan bahawa setiap amalan yang dilakukan oleh manusia akan dinilai di sisiNya. Sama ada ia kecil mahupun besar, penilaian daripada Allah SWT adalah yang paling adil untuk manusia. Firman Allah SWT:

"Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)." (QS al – Zalzalah: 7-8).

Dalam usaha melakukan kebaikan, usah sesekali memandang remeh terhadap amalan yang dilihat kecil oleh mata kasar. Sesungguhnya Allah SWT menilai amalan yang dilakukan oleh seseorang hamba dengan pandangan rahmatNya. Keadaan setiap orang berbeza-beza ketika melakukan kebaikan. Jadi, marilah kita berlapang dada dan memandang segala kebaikan yang diusahakan oleh seseorang itu dari sudut positif.

Indahnya Islam sehinggakan senyum sesama kita juga disebut secara khusus dan merupakan perbuatan yang dapat menyatukan kita kaum Muslimin. Marilah kita bermanis muka apabila bertemu dengan saudara se Islam kita, mudah-mudahan kita dapat bersatu padu sesama saudara seIslam kita.

Sumber: Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)




 

Comments