Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan apabila tularnya sebuah video yang memaparkan aksi seorang lelaki dewasa dan dua orang kanak - kanak lelaki yang mempamerkan aksi bela diri iaitu silat di tengah - tengah perkarangan Masjid Nabawi, Kota Madinah, Arab Saudi. Video tersebut mengundang pelbagai persepsi daripada netizen, ada yang menyokong bahkan tidak sedikit pun yang mengkritik.
Tidak ada salah sebenarnya untuk kita menunjukkan budaya kita di negara luar, akan tetapi perlulah ada adab dan batasnya lebih - lebih lagi ketika berada di rumah Allah SWT dan di negara orang. Perbuatan sedemikian hanya mengundang kritikan ramai dan boleh memberikan persepsi negatif terhadap jemaah dari negara ini. Perkara itu tidak sesuai dengan adab sopan orang Malaysia yang kita pelihara selama ini. Kita kena hormat undang-undang dan budaya di negara lain.
Adab dan akhlak ditekankan dalam segenap aspek kehidupan meliputi muamalah sesama manusia. Tuntutan sifat sopan atau bermoral terhadap saudara-mara, jiran tetangga serta masyarakat secara umumnya. Bukankah itu yang sudah diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kita? Sabda Baginda dalam sebuah hadis yang bermaksud:
"Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak." (HR Ahmad).
Namun di dalam hal ini, sebagai tetamu Allah SWT kita hendaklah menghormati hak dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh negara Arab Saudi. Arab Saudi ada undang-undang yang ketat dalam urusan pemakaian baju. Hatta mafla atau mengibarkan bendera P4l3stin juga tidak dibenarkan. Dalam hal ini, kita harus hormat dan akur, bukannya buat sesuka hati.
Oleh itu, sebagai tetamu yang dimuliakan oleh Allah SWT dengan izinNya dapat mengerjakan ibadah umrah atau haji, kita harus menghormati hak dan undang - undang Arab Saudi selaku tuan rumah. Daripada aspek berpakaian, jika berpakaian kain sarung atau baju Melayu, ia masih boleh diterima dan tiada masalah. Bertanjak dan bersilat di tempat suci untuk mendapat pujian bukanlah cara yang sesuai.
Hormat atau adab yang membawa maksud budi bahasa, kesopanan dan ketawadukan dilihat bukan semata-sama menjadi asas kepada tingkah laku, tetapi juga sebagai teras utama kepada sebuah peradaban bangsa.
Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)
Comments
Post a Comment