PELAJARI AKIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH YANG BETUL SUPAYA TIDAK MENIMBULKAN KEKELIRUAN DALAM PENGAMALAN SYARIAT ISLAM


Malaysia adalah antara negara-negara Islam yang berpegang kepada pegangan dominan umat Islam di seluruh dunia iaitu akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Akidah ASWJ adalah satu pegangan yang berakar umbi daripada ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan para Sahabat Baginda. Kemudian ia disusun dengan lebih bersistem dan teguh oleh ulama-ulama terkemudian terutamanya dua tokoh utama imam ASWJ iaitu Imam Abu al-Hassan al- Ash’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.

Akidah ASWJ merupakan ajaran yang betul, lurus, selamat, jelas dan tiada kekeliruan padanya. Antara ciri-ciri utama pegangan akidah ASWJ adalah:
i. Berpegang dan mentafsirkan hukum-hukum Islam berdasarkan empat sumber iaitu al-Quran, as-Sunnah, ijmak dan qias tanpa mengabaikan peranan atau kepentingan setiap satu daripadanya; 
ii. Berpegang pada ajaran Islam yang meliputi perkara berkaitan iman (akidah), Islam (syariat) dan ihsan (akhlak) atau sifat kehambaa;
iii. Berpegang pada al-Quran yang dihimpunkan oleh para Sahabat (Mashaf Uthmani) serta as-Sunnah terutamanya hadis-hadis yang dihimpunkan oleh ulama besar hadis seperti al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan imam-imam lain yang diiktiraf;
iv. Mempercayai bahawa para Sahabat kesemuanya bersikap benar dan adil tanpa mengkufurkan salah seorang daripada mereka terutamanya para Khulafa ar-Rasyidin (Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Thalib)
v. Percaya dan beriman kepada perkara-perkara ghaib;
vi. Tidak mengkufurkan saudara seIslam atau yang berkiblatkan Kaabah dengan mudah ;
vii. Kesederhanaan dalam kepercayaan dan pengamalan iaitu tidak terlalu ekstrem dan tidak terlalu cuai.

Inilah antara ciri-ciri utama pegangan akidah ASWJ yang perlu dipraktikkan dalam kepercayaan (akidah), pengamalan (syariat) dan keperibadian (akhlak) seorang Muslim. Sesungguhnya apabila wujud kepercayaan, pengamalan dan keperibadian yang menyalahi ciri-ciri tersebut maka dikhuatiri ia bukan berdasarkan akidah ASWJ yang dijanjikan selamat daripada penyelewengan dan kesesatan.

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)


 

Comments