PERSIAPKANLAH DIRI KITA DALAM MENGHADAPI FITNAH DAJJAL

 

Tiada siapa pun mengetahui bila hari kiamat akan berlaku. Bahkan Rasulullah SAW sendiri juga tidak mengetahui. Namun, apa yang pasti hari itu akan tiba dan tanda – tanda kemunculan hari tersebut juga akan berlaku. Antara tanda yang nyata adalah kemunculan Dajjal al – Masih yang menyebarkan segala fitnah yang melata di muka bumi ini. Oleh kerana itu, kita sebagai umat Islam wajib untuk mempersiapkan diri kita demi melindungi diri dari fitnah Dajjal.

Nabi Muhammad SAW telah memberi peringatan kepada kita tentang kemunculan al Masih ad Dajjal pada akhir zaman di dalam hadis Baginda SAW. Begitu juga Baginda SAW tidak pernah lupa untuk memberi nasihat kepada umatnya agar berhati-hati apabila berada pada zaman kemunculan al Masih ad Dajjal. Antara fitnah dan tipu daya yang dibawa oleh al Masih ad Dajjal adalah mengaku sebagai Tuhan iaitu dia mampu untuk memerintahkan hujan untuk menurunkan air, memerintahkan bumi untuk menumbuhkan tanam-tanaman, menghidupkan orang mati dan sebagainya. Perkara tersebut telah disebut di dalam sebuah hadis Nabi SAW, riwayat Huzaifah bin Yaman dan daripada Abu Umamah al Bahili, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Dan di antara fitnahnya juga, Dajjal akan berkata kepada orang arab badwi: "Apa pendapatmu jika aku hidupkan bapamu dan ibumu, adakah engkau akan bersaksi bahawa aku ini adalah Tuhanmu? Lalu arab badwi tersebut menjawab: "Ya". Lalu dua syaitan datang menyerupai bapanya dan ibunya dan kedua-duanya berkata: "Wahai anakku, ikutilah dia (Dajjal) kerana dia adalah Tuhanmu." (HR Ibnu Majah).

Rasulullah SAW telah mengajar kita bagaimana untuk menghadapi fitnah dan tipu daya Dajjal ketika kemunculannya. Antaranya adalah memohon perlindungan dari fitnah Dajjal. Terdapat banyak hadis Nabi SAW yang sahih menyebutkan tentang perkara ini. Antaranya adalah daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

"Jika salah seorang dari kamu berada di tahiyat akhir, maka mintalah perlindungan dengan Allah daripada empat perkara dengan mengucapkan: "Ya Allah, aku berlindung denganMu dari seksa neraka, seksa kubur, fitnah kehidupan dan mati serta daripada kejahatan fitnah Dajjal." (HR Muslim).

Rasulullah juga memberi saranan kepada kita untuk menghafal sepuluh ayat dari surah al Kahfi kerana ia dapat menyelamatkan kita daripada fitnah serta tipu daya Dajjal. Sabda Baginda:

"Siapa yang menghafal sepuluh ayat dari permulaan surah al Kahfi, maka dia akan diselamatkan daripada Dajjal." (HR Muslim).

Justeru, persiapkanlah diri kita dalam menghadapi fitnah Dajjal yang bakal tiba. Kita tidak akan tahu bila, namun apa yang pasti, tanda – tandanya pasti akan muncul.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Comments