REALITI SEBENAR PANDANGAN MASYARAKAT DUNIA YANG BERSIFAT EKSTREMIS SEHINGGA MENGHINA AGAMA DAN UMAT ISLAM


Perkembangan dunia memperlihatkan masyarakat dunia telah beberapa kali dikejutkan dengan isu penghinaan terhadap agama Islam dan umatnya sama ada melalui media cetak atau media sosial. Contohnya, penghinaan terhadap Islam dan Nabi Muhammad SAW telah dimuatkan dalam majalah ‘Jylland Postem’ di Denmark dan diulang tayang penerbitannya di beberapa media di Eropah.

Ada juga kes sebuah filem parodi yang bertajuk ‘Innocence of Muslims’. Video berdurasi selama 20 minit ini dihasilkan oleh Sam Bassile, seorang warga Amerika Syarikat berbangsa Yahudi. Penceritaan video tersebut telah menghina Nabi Muhammad SAW sebagai seorang yang tidak bermoral. Akibatnya ia telah mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia, namun tidak ada sebarang tindakan dikenakan bagi mengawalnya.

Di Perancis pula terdapat sebuah majalah ‘Charlie Hebdo’ yang memomokkan wadah ‘kebebasan bersuara’. Ia memaparkan karikatur Nabi Muhammad SAW yang berbaur kebencian dan penghinaan. Walaupun ia telah mencetuskan kemarahan dan tentangan daripada umat Islam di seluruh dunia, namun penerbitan karikatur ini tetap diulang atas pelbagai alasan untuk kebebasan bersuara dan sentimen sekularisme.

Kes-kes seperti ini memaparkan realiti sebenar sikap sebahagian penduduk dunia terhadap Islam dan umat Islam. Malaysia turut tidak ketinggalan mengalami isu penghinaan terhadap agama dan umat Islam ini. Walaupun ianya masih dalam keadaan terkawal, namun ianya mestilah sentiasa dipantau dan tidak diendahkan, kerana dikhuatiri individu mahupun kumpulan yang bersifat ekstremis ini hilang pertimbangan seterusnya mencetuskan provokasi dan ketidakharmonian dalam negara. Cukuplah peristiwa berdarah seperti mana yang berlaku pada 13 MEI 1969, janganlah biarkan ianya berulang kerana pasti bakal menjejaskan masa hadapan anak bangsa negara. Renung-renungkan.

Sumber: E-Proceedings of the International Conference on Aqidah on Aqidah, Religions


 

Comments