TREND AI “HOW DO I LOOK IN 1930’S DAN 1980’s” DI TIKTOK WAHAI MUSLIMAH! PELIHARALAH AURATMU DARI TONTONAN BUKAN MAHRAM
Tidak dinafikan, setiap daripada kita begitu teruja untuk mencuba terhadap pelbagai filter yang tersedia di setiap laman sosial tidak kiralah sama ada Facebook, Instagram dan TikTok. Namun apa yang dikhuatirkan pada ketika ini adalah bagaimana cara dan hasil yang dikeluarkan melalui filter tersebut khususnya buat golongan Muslimah. Baru – baru ini hangat tentang sebuah trend yang dipanggil “How Do I Look In 1930’s dan 1980’s” yang menggunakan teknologi Artificial Intelligence (AI) yang menjana rupa wajah kita di tahun 1930an dan 1980an.
Apa yang meresahkan adalah kebanyakan yang menggunakan filter ini adalah dari kalangan Muslimah. Ini kerana teknologi AI tersebut menggambarkan rupa kita dalam keadaan tidak berhijab. Walaupun ianya sebuah teknologi rekaan, namun ia tetap menunjukkan bukaan aurat seorang wanita Muslimah kepada golongan ajnabi mereka kerana sebahagian daripada mereka memuatnaik di akaun masing – masing untuk tatapan umum.
Pesanan buat golongan Muslimah, dalam kita sibuk mengejar kemajuan teknologi, jangan dilupakan suruhan Allah SWT. Tutuplah auratmu, jangan dibiarkan ia menjadi tatapan golongan ajnabi yang sudah tentu haram bagimu. Wanita itu hiasan dunia dan sebaik – baik hiasan adalah wanita solehah. Allah SWT berfirman:
“Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).” (QS al – A’raf: 26).
Wanita mempunyai kedudukan istimewa yang diberikan Islam. Kedudukan dan fungsinya mendapat penghargaan dan dihargai semenjak pertama kali lahir ke bumi. Kemuliaan kaum perempuan ini, Allah berikan pada semua fasa kehidupannya dan diberikan hak khusus. Jadi sebagai wanita yang beriman, kita wajib berpakaian sebagaimana yang telah disarankan oleh Al-Quran. Muslimah yang sejati, adalah mereka yang mencintai dan mengamalkan sunnah Nabi SAW serta mencontohi kehidupan para isteri Baginda. Jaga aurat, kehidupan selamat, maruah dimartabat.
Sumber: Portal e – Dakwah, Jabatan hal Ehwal Agama Islam Kelantan(JAHEAIK)
Comments
Post a Comment