URUSAN AGAMA ISLAM TIDAK LAYAK DICAMPURI OLEH BUKAN ISLAM PERTAHANKAN INSTITUSI KEAGAMAAN RASMI NEGARA
Sebagai rakyat Malaysia, kita semua tahu akan Perkara 3 (1) di dalam Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan agama Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan Malaysia. Oleh itu, segala urusan pentadbiran agama Islam wajib diuruskan oleh orang yang beragama Islam. Akan tetapi, sejak kebelakangan ini, ada beberapa pihak yang sengaja cuba untuk mencabar integriti dan kredibiliti agama Islam dengan memulakan provokasi yang melibatkan pentadbiran agama Islam.
Perkara ini dilihat sangat keterlaluan dan ianya turut mendapat perhatian Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sehingga Baginda mengeluarkan titah agar bukan Islam tidak sesekali mencampuri urusan hal ehwal agama Islam. Titah ini dikeluarkan susulan kontroversi berkenaan seorang ahli politik yang “menyarankan” agar urusan pelantikan dari kalangan bukan Islam dilakukan untuk bersama – sama dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
Dalam titah Baginda, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh Baginda, memegang amanah dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala hal ehwal berkaitan umat Islam. MKI juga dianggotai oleh pakar-pakar yang arif dalam pelbagai bidang khususnya yang melibatkan undang-undang dan agama Islam.
Oleh itu, Baginda mengharapkan agar orang-orang politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak terus-menerus mencampuri urusan hal ehwal Agama Islam. Malah, penganut agama-agama lain seharusnya mencontohi umat Islam yang tidak mencampuri hal ehwal agama lain di Malaysia. Sebagai umat Islam, kita harus memandang serius apa yang dititahkan oleh seorang pemimpin berkenaan dengan urusan agama Islam. Lihatlah sekeliling kita pada hari ini bagaimana umat Islam cuba untuk ‘dicuci otak’ oleh sebahagian bukan Islam agar pentadbiran Islam dikongsi bersama – sama mereka. Bukankah Allah SWT telah berfirman dalam surah al – Kafirun, ayat 6 yang bermaksud:
"Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku".
Justeru, pertahankanlah kedaulatan institusi agama Islam agar tidak terus – menerus diserang oleh bukan Islam yang cuba memutarbelit keadaan sehingga menimbulkan keraguan terhadap umat Islam sendiri. Jangan biarkan pemikiran kita ‘dijajah’ oleh golongan berkenaan yang sengaja mahu melihat agama Islam itu hancur. Ingatlah, agama kita tanggungjawab kita. Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang Yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah (akan) menolong kamu (untuk mencapai kemenangan) dan (Allah) meneguhkan kedudukan kamu”. (QS Muhammad: 7).
Sedikit nasihat buat golongan bukan Muslim, jangan sesekali mencampuri urusan agama Islam yang langsung tidak berkait rapat dengan kamu. Ini kerana dikhuatiri akan menimbulkan lebih banyak provokasi dan kekeliruan di kalangan masyarakat.
Sumber: Jabatan Mufti Perlis
Comments
Post a Comment