WASPADALAH!!! TATKALA ‘SIFIR’ LIBERAL BARAT DIADAPTASI DALAM ISLAM, MAKA HANCURLAH AKIDAH UMATNYA


Golongan liberal menganggap agama menjadi punca mereka disekat serta dicengkam selama ribuan tahun oleh kelompok yang dikatakan sebagai institusi agama. Liberalisme juga menganjurkan agama itu adalah kebebasan menganut, meyakini dan mengamalkan apa sahaja yang sesuai dengan kehendak dan selera masing-masing. Agama disempitkan ruangnya sehingga hanya boleh tinggal di tempat ibadat dan rumah.

Apabila sampai dalam konteks Islam, mereka menjenamakan ia sebagai Islam liberal. Golongan Islam liberal terbabit mahu menyamakan konteks sejarah yang berlaku dalam Kristian iaitu menolak gereja yang menyebabkan mereka maju. Ini bermaksud mereka mahu menggunakan ‘sifir’ yang sama untuk menolak apa sahaja bentuk autoriti agama dan menganggap perkara sama boleh berlaku terhadap agama Islam. Misinya untuk membebaskan umat Islam daripada dibelenggu fahaman lama dan cengkaman dominasi tafsiran golongan ulama.

Umat Islam mempunyai institusi ulama, namun asasnya sangat berbeza dengan institusi gereja. Ulama asasnya ilmu manakala gereja pula berasaskan kedudukan golongan suci yang dipelihara sehingga mereka dianggap sebagai infallible iaitu tidak melakukan kesalahan. Mereka juga boleh menentukan apa sahaja bentuk kebenaran serta mengampunkan dosa sesiapa sahaja bagi pihak Tuhan. Itulah perbezaan yang amat besar sekali berdasarkan konteks sejarah Kristian dan Islam.

Justeru itu, mengapakah lagi perlunya liberalisme dalam Islam sedangkan fahaman itu jelasnya menyalahi persimpangan yang dipegang umat Islam iaitu berasaskan al-Quran dan as-Sunnah? Renung-renungkan.

Sumber: Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Pilitik (SYARAK)- IKIM


 

Comments