KEPIMPINAN BERASASKAN LIBERAL PERLU DISEKAT SUPAYA TIDAK MENCABULI SYARIAT DAN AGAMA ISLAM


Seringkali diwacanakan bahawa fahaman liberal adalah antara idelogi Barat yang mana sejarah kewujudannya adalah berasaskan kejatuhan sistem gereja pada zaman kegelapan. Pada ketika ini bermulalah era kepimpinan golongan liberal yang memisahkan agama dari segala hal kehidupan. Secara tidak langsung masyarakat mula didoktrinkan pemikirannya secara halus dan tanpa sedar mempercayai dan meyakini bahawa tanpa agama mereka boleh mencapai kemajuan.

Namun, adaptasi liberal dalam Islam adalah satu perkara yang amat bahaya kerana ia melibatkan syariat dan akidah Islam. Contohnya isu terkini yang melibatkan pembatalan beberapa perkara dalam Enakmen Negeri Kelantan. Secara undang-undang ianya adalah sah kerana mengikut prosedur yang betul. Namun, secara ‘halusnya’ tindakan mencabar perundangan syariah itu boleh dianggap sebagai cubaan untuk memperkecilkan peranan mahkamah syariah.

Situasi ini boleh digambarkan sebagai langkah mula golongan liberal dalam menguasai sektor agama melalui ‘kuasa’ kepimpinan yang diperoleh. Sekiranya benar kata golongan liberal kononnya tindakan itu adalah sebagai langkah untuk memperkasakan undang-undang syariah, seharusnya enakmen negeri-negeri di bawah Senarai Dua Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan perlu digubal sebaiknya dengan membuka batasan 3, 5, 6 (tiga tahun penjara, denda Ringgit Malaysia Lima Ribu, enam kali sebatan) kepada ruang lingkup yang lebih besar sebagaimana kuasa yang ada pada mahkamah sivil, bukannya dihapuskan sebegitu sahaja. Dikhuatiri jika ianya tidak dibendung, pasti ada cubaan lebih berani golongan liberal menjadikan kes ini sebagai ‘stare decicis’ atau duluan kehakiman yang mengikat kes-kes pada masa hadapan. 

Justeru itu, perlu diingatkan bahawa bukan mudah untuk menjadi pemimpin, bukan mudah untuk menjadi seseorang yang mempunyai autoriti, kerana tanggungjawab anda untuk mempertahankan agama Islam itu adalah lebih besar dan cabaran untuk menghadapi golongan seperti liberal ini pasti ada dan perlu mempunyai solusi yang baik supaya tidak menggadaikan agama demi kepentingan peribadi atau tunduk pada apa-apa cubaan yang menekan. Masyarakat awam juga perlu mengambil cakna isu-isu seperti ini supaya dapat sama-sama melindungi agama dan syariat walau dengan sekecil-kecil usaha iaitu melalui doa.

Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia –FEB 2024


 

Comments