KETAHUILAH KESAN BURUK AKIBAT PERBUATAN ZINA BAHAGIA CUMA SEMENTARA, DERITA SEPANJANG NYAWA


Rentetan daripada artikel berkenaan dengan jemputan kepada seorang ‘gigolo’ yang dikenali sebagai Hot Daddy oleh sebuah podcast tempatan, artikel hari ini akan memberikan pencerahan mengenai padahnya apabila mendekati atau terjerumus ke dalam lembah penzinaan. Walaupun umum sudah mengetahui kesan dan akibat daripada perbuatan tersebut, akan tetapi artikel ini tidak akan sesekali berhenti untuk menyebarkan ilmu dan kebaikan terhadap isu ini kepada masyarakat khususnya kepada generasi hari ini berkenaan dengan kesan buruk perbuatan tersebut.

Firman Allah SWT:

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (QS Al – Isra’: 32).

Rasulullah SAW bersabda:

"Sesungguhnya Allah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya." (HR Muslim).

Perbuatan zina yang berlaku pada hari ini terjadi dalam keadaan terang-terangan sehingga manusia lain dapat melihat perbuatan tersebut. Bahkan dalam sebuah hadis, sabda Rasulullah SAW:

“Di antara tanda-tanda hari kiamat adalah berkurangnya ilmu dan merebaknya kejahilan, zina dilakukan secara terang-terangan dan jumlah wanita yang semakin banyak sedangkan jumlah lelaki semakin sedikit sehingga 50 orang wanita seorang lelaki.” (HR Bukhari).

Di antara kesan kerosakan yang bakal terjadi akibat zina adalah:

1) Akan menyebabkan keturunan porak peranda. Apabila seseorang lelaki berasa ragu-ragu mengenai anak yang dilahirkan, maka lelaki tersebut tidak akan mendidiknya, bahkan seterusnya tidak mahu mengurusnya. Hal itu akan menyebabkan keturunan manusia menjadi sia-sia dan dunia akan hancur.

2) Akan membuka pintu huru-hara dan kegoncangan sesama manusia.


3) Kaum wanita yang sudah terlalu sering terjebak dengan penzinaan akan dipandang kotor oleh setiap lelaki yang waras sehingga tidak akan berlaku kemesraan antara perempuan seperti itu dengan suaminya.

 Tujuan kaum perempuan dicipta bukan sekadar pemuas nafsu syahwat lelaki semata-mata. Bahkan, mereka dijadikan sebagai pelengkap kepada kaum lelaki dalam mengatur urusan rumah tangga dan mempersiapkan tugas seperti makanan, minuman dan pakaian. Kaum perempuan juga menjadi penjaga dan pengurus anak-anak dan sekali gus menjadi pembantu suami. Tugas ini tidak akan dilaksanakan dengan sempurna kecuali apabila wanita itu menjadi rakan (pasangan) yang khusus bagi seorang lelaki sahaja bukan untuk lelaki yang lain.

Dalam erti kala yang lain, perzinaan merupakan suatu yang sangat keji, kerana ia adalah punca-punca, nasab (keturunan) menjadi kacau-bilau dan manusia saling bunuh-membunuh, sembelih-menyembelih, kerana mempertahankan kehormatan. Perzinaan juga merupakan cara yang buruk jika ditinjau dari segi menyamakan antara manusia dan binatang, iaitu tidak menjodohkan antara yang betina dengan yang jantan secara khusus.

Oleh itu, janganlah kita sesekali terjerumus atau lebih baik untuk tidak mendekati pintu – pintu yang boleh menghanyutkan kita ke dalam lembah penzinaan. Tahukah kita bahawa kini angka jangkitan penyakit sifilis atau lebih dikenali sebagai penyakit kelamin semakin meningkat hingga 128%? Satu peratusan yang sangat menakutkan. Adalah menjadi kewajiban setiap manusia khususnya umat Islam untuk memahami tentang punca yang membawa kepada berlakunya zina agar kehidupan kita di akhir zaman ini dapat dihindarkan daripada perbuatan tersebut seterusnya mendapat lindungan dan rahmat Allah SWT. Ingatlah, Bahagia akibat dosa itu hanya sementara, akan tetapi kita akan menderita sepanjang nyawa.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 

Comments