Mutakhir ini, sering kita mendengar tentang kes – kes kemalangan jalanraya yang semakin meningkat saban hari dan ada diantaranya hingga meragut nyawa. Sudah banyak kempen kesedaran dan operasi – operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa, namun masih ramai lagi yang tidak mengendahkan bahkan ada di antara mereka yang meremehkan usaha – usaha tersebut. Meskipun usaha berbentuk fizikal sedikit sebanyak berjaya mengurangkan kes kemalangan jalan raya, namun ia masih belum memuaskan. Oleh itu, kita seharusnya berusaha mencari pendekatan lain untuk memperkemaskan lagi pendekatan yang sedia ada.
Usaha untuk mendekati masalah ini dari sudut keagamaan (kerohanian) masih kurang dilakukan. Perkara ini mungkin disebabkan kebanyakan anggota masyarakat menganggap isu kemalangan jalan raya adalah masalah sikap dan tingkah laku individu tertentu sahaja, malah ia tiada hubungkait dengan agama. Jika benar wujud andaian sebegini, bermakna pengaruh sekularisme masih menebal dalam pemikiran masyarakat hari ini. Kita masih menyempitkan ruang lingkup keagamaan khususnya Islam dalam aspek ibadah dan amalan ritual semata-mata. Sedangkan pada hakikatnya Islam sebagai agama merangkumi semua aspek kehidupan. Cara hidup yang dibawa oleh Islam adalah sempurna dan mempunyai prinsip tersendiri dalam semua bidang kehidupan dan kegiatan manusia. Allah SWT berfirman:
“..dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (QS al – Baqarah: 195).
Dalam hal undang-undang berkaitan jalan raya seperti yang telah dijalankan sehingga ke hari ini, sememangnya kita tidak dapati peruntukan secara langsung dalam nas, tetapi kepentingan dan keperluan undang-undang dan peraturan jalan raya ini adalah selari dengan kehendak ajaran Islam yang menghendaki manusia sentiasa terselamat daripada segala kecederaan dan kemusnahan. Perlu dijelaskan bahawa penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang jalan raya diiktiraf oleh Islam melalui konsep al-Masalih al-Mursalah. Ia bermaksud kepentingan atau keperluan yang tidak disebutkan secara jelas dalam nas iaitu al-Quran dan hadis, tetapi ia tidak pula bertentangan dengan kehendak nas itu sendiri.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab kerajaan di sisi syarak untuk menggubal dan menguatkuasakan undang-undang jalan raya yang difikirkan mampu menolak kemudaratan yang timbul akibat kemalangan. Apabila kerajaan menunaikan tanggungjawabnya dalam perkara ini, maka kerajaan mempunyai hak untuk ditaati (khususnya dalam perkara ini) dan menjadi tanggungjawab rakyat pula dari segi syarak untuk mentaatinya. Kewajipan mematuhi undang-undang jalan raya yang digubal ini adalah untuk menjamin keselamatan masyarakat. Perkara ini selari dengan hadis yang bermaksud:
"(Wajib) dengar dan taat (kepada pemimpin) ke atas setiap Muslim pada perkara yang ia suka dan ia benci, selagi mana ia tidak diperintah melakukan maksiat. Apabila ia diperintah melakukan maksiat, maka tidak perlu lagi dengar dan taat." (HR Bukhari).
Sumber: Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)
Comments
Post a Comment