Realiti isu murtad yang berlaku di Malaysia bukan sahaja merujuk kepada masyarakat yang asalnya adalah beragama Islam, namun murtad juga berlaku dalam kalangan golongan muallaf. Banyak faktor yang boleh dikaitkan dengan masalah murtad dalam kalangan muallaf. Antaranya adalah rosaknya iman iaitu melalui iktikad, perkataan dan perbuatan.
Selain itu, murtad bagi muallaf juga boleh terjadi disebabkan oleh hilang pertimbangan atau hilang arah dalam menghayati agama Islam. Tidak semua muallaf mendapat bimbingan yang betul sama ada dari pusat bimbingan, kelas-kelas fardhu ain disediakan jabatan agama Islam mahupun masyarakat Muslim setempat. Ada antara muallaf yang memeluk agama Islam disebabkan oleh perkahwinan. Hilang pertimbangan dan arah haluan boleh berlaku apabila ditakdirkan perkahwinan tidak bertahan lama, pasangan Islam tidak cukup menerapkan penghayatan terhadap Islam dalam kehidupan rumah tangga dan gagal membimbing pasangan muallaf menyebabkan mereka murtad kembali ke agama asal.
Oleh sebab itu, golongan muallaf seharusnya perlu jelas matlamat mereka memeluk Islam adalah kerana apa. Murtad adalah jalan yang dipilih jika matlamatnya bukan kerana agama. Seharusnya seseorang yang ingin menganut agama Islam perlulah dengan kerelaan hati dan bukannya kerana paksaan bagi mengelakkan masalah kemudian hari. Pihak penguatkuasa agama juga perlu menggandakan usaha membanteras gejala itu dengan menggiatkan usaha dakwah. Masyarakat serta ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam hal ini demi menjaga akidah dan syariat Islam.
Sumber: Wacana Sosial, Pusat Teknologi Komunikasi dan Pembangunan Insan –UTM SKUDAI
Comments
Post a Comment