MURTAD ADALAH TINDAKAN TERKUTUK MENGAKIBATKAN SIKSAAN DI DUNIA DAN AKHIRAT


Murtad dari segi istilah berasal daripada perkataan ‘riddah’ yang bermaksud kembali. Kembali yang dimaksudkan ialah kembali kepada kekufuran setelah menerima Islam. Seorang ulama Islam, al-Qalyubi pula menyatakan murtad sebagai memutuskan pegangan terhadap Islam dengan niat atau dengan perkataan atau dengan perbuatan sama ada berupa persendaan, penghinaan atau kepercayaan. 

Dalam Surah al-Baqarah, ayat 217, menjelaskan bahawa seseorang Muslim yang telah murtad dan meninggal dunia di dalam keadaan tersebut, segala amalannya yang baik yang dilakukan sepanjang hayatnya akan menjadi sia-sia. Akibat daripada perbuatannya itu, dia akan dikekalkan di dalam api neraka di akhirat kelak. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas daripada sabda Rasulullah SAW juga menjelaskan bahawa orang yang telah menukarkan agamanya dengan kembali kepada kekufuran akan dikenakan hukuman bunuh kerana perbuatannya itu.

Nas-nas di atas menggambarkan bahawa jenayah murtad merupakan satu jenayah yang amat terkutuk di sisi Islam. Oleh kerana itu, Islam menetapkan hukuman bunuh kepada sesiapa sahaja yang murtad atau keluar daripada agama Islam. Di dunia, dia akan dikenakan hukuman yang paling keras iaitu hukuman bunuh dan di akhirat pula, dia akan dihumbankan ke dalam api neraka buat selama-lamanya. Justeru itu, ambillah kisah ini sebagai pengajaran supaya akidah diperkasakan agar tidak mudah terjebak dengan anasir yang menyesatkan sehingga jatuh ke lembah kemurtadan.

Sumber: Jurnal Usuluddin, Vol. 26 – Universiti Darul Iman Malaysia


 

Comments