PELIHARALAH AKIDAH SUPAYA TIDAK TERKELUAR DARI LANDASAN ISLAM SEBENAR

 

Adalah menjadi kewajipan ke atas setiap orang Islam menjaga dan memelihara keislamannya dengan menjaga akidahnya daripada sebarang perkara yang boleh menjadikannya rosak dan terbatal. Jika terbatal akidah seseorang Islam itu, maka ia telah menjadi murtad. Jika seseorang telah murtad, lalu dia mati, maka hapuslah segala amal ibadat yang telah dilakukannya. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 217, maksudnya:

 ''Dan sesiapa antara kamu yang murtad daripada agamanya (Islam), lalu dia mati sedang dia dalam keadaan kafir maka sia-sialah amalan mereka yang baik-baik di dunia dan di akhirat, mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.''

Akidah adalah perkara yang amat penting dan sensitif dalam agama Islam. Ia tidak boleh dipersendakan atau dipermain-mainkan dan setiap Muslim perlu berpegang teguh dengan akidah yang benar sama ada dengan hati, perkataan mahupun perbuatan. Tidak diragukan lagi bahawa mempersenda atau mempermain-mainkan perkara agama adalah satu dosa dan dan boleh membawa kepada terkeluar daripada agama Islam (murtad) jika tidak bertaubat.

Kita sepatutnya bersyukur kerana telah terpilih menjadi umat Islam, maka hendaklah kita jaga dan pelihara keislaman kita itu dengan sebaik-baiknya iaitu dengan mempelajari akidah yang benar dan berpegang teguh dengannya agar tidak terpengaruh dengan pelbagai fahaman sesat yang boleh menjadikan seseorang itu murtad.

Sama-samalah kita berdoa semoga iman kita akan sentiasa ditetapkan, hidup dalam beriman, mati dalam beriman, dikumpulkan di akhirat kelak bersama-sama orang-orang yang beriman, dan dimasukkkan ke syurga bersama orang-orang yang beriman. 

Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam


Comments