PENGHINAAN AGAMA ISLAM ADALAH PERBUATAN YANG EKSTREM DAN BOLEH DISABITKAN DI BAWAH KANUN KESEKSAAN

 

Penghinaan agama merujuk kepada perbuatan mengejek dan mencemuh agama. Di Malaysia, penghinaan terhadap agama Islam turut berlaku walaupun Islam diiktiraf sebagai satu-satunya agama rasmi negara atau agama bagi Persekutuan. 

Penghinaan terhadap agama Islam seolah-olah menjadi satu tren di media sosial pada zaman moden ini sehingga Unit Pemantauan Isu Hina Agama, Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) melaporkan bahawa terdapat 431 aduan berkaitan penghinaan terhadap Islam di media sosial dan mengenal pasti sebanyak 83 pautan yang menghina agama Islam setakat ini. 

Walaupun terdapat peruntukan undang-undang seperti Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi, namun begitu isu ini amat sukar untuk dibendung. Sehingga tahun 2023 kes-kes penghinaan terhadap agama Islam masih berlaku dan telah mencetuskan kemarahan umat Islam di Malaysia. Contohnya media melaporkan seorang pemuda telah dibelasah kerana memuat naik video memijak dan menghina al-Quran di Facebook miliknya.

Jelasnya, isu agama merupakan satu isu yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia. Demi menjaga sensitiviti ini dan dalam usaha untuk memupuk keharmonian dalam kalangan warga Malaysia, kesemua pihak yang bertanggungjawab sewajibnya memainkan peranan yang aktif dalam membendung perkara ini.

Sumber: E-Proceedings of the International Conference on Aqidah, Religions and Social Sciences -USIM


Comments