SARANAN MUFTI PULAU PINANG AGAR IMAM BERHENTI MEROKOK : MENJADI UMAT ISLAM ITU HARUSLAH MENGHORMATI FATWA PENGHARAMAN ROKOK
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menasihatkan para individu yang berperanan sebagai imam dinasihatkan berhenti merokok kerana ia merupakan tabiat tidak baik, apatah lagi perokok turut digolongkan dalam kalangan orang fasik. Tambah beliau, walaupun terdapat pandangan ulama yang mengatakan sah solat di belakang seorang imam yang fasik atau merokok, ia tetap menonjolkan imej negatif terhadap seorang imam terlibat.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai sebuah klip video di aplikasi TikTok oleh seorang ustaz yang menjawab pertanyaan pengikutnya mengenai 'tidak solat dengan imam yang merokok'. Seperti yang semua maklum, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke – 37 pada 23 Mac 1995 yang lalu telah membincangkan isu mengenai “Hukum Merokok Dari Pandangan Islam” dan telah bersetuju untuk memutuskan dengan jelas bahawa “Merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan”.
Artikel ini bukan sahaja ditujukan buat golongan imam, malah seluruh umat Islam di negara ini. Semua keburukan yang dibawa oleh rokok ini perlu diberi perhatian serius oleh semua umat Islam dalam negara kita. Pengharaman rokok ini juga selaras dengan perintah Allah SWT di dalam kitab suci Al – Qur’an seperti firman Allah SWT di dalam Surah al - Baqarah, ayat 195 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.
Sesungguhnya isu merokok adalah isu yang telah lama dibincangkan mengenai kesan buruk dan pengharamannya. Perlu diingatkan bahawa terdapat banyak akibat yang tidak baik berlaku kepada perokok dan orang sekelilingnya. Selain itu rokok juga menyebabkan pembaziran yang ketara yang melibatkan jutaan ringgit pada setiap tahun. Maka dari itu, hormatilah fatwa yang telah dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majilis Kebangsaan. Ini kerana amalan merokok ini di mata Allah SWT adalah satu sikap yang boros dan keterlaluan. Sabda Rasulullah SAW:
“Allah membenci bagi kamu tiga perkara: Desas-desus, membazirkan harta dan banyak bertanya.” (HR Bukhari).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment