BANGGA MENAYANG DOSA DI MEDIA SOSIAL TANDA FITRAH DIRI SEORANG MUSLIM YANG ROSAK


Di dalam bulan Ramadan, bulan puasa, bulan pengampunan dan bulan penuh kemuliaan ini, kita diwajibkan untuk mengumpul seberapa banyak pahala kerana di dalam bulan ini sahajalah bulan yang penuh “eksklusif” untuk umat Islam meraih sepenuhnya keampunan daripada Allah SWT ke atas dosa – dosa yang lalu. Namun, apa yang menyedihkan pada hari ini semakin ramai pula yang berbangga untuk menayang dosa mereka di media sosial. 

Tular di media sosial khususnya aplikasi TikTok di mana beberapa video yang dimuatnaik oleh segelintir umat Islam yang memaparkan adegan tidak berpuasa di mana diperlihatkan beberapa umat Islam yang sedang makan di siang hari dalam bulan Ramadan yang kononnya dilihat sebagai satu adegan yang lucu. Ini ditambah lagi dengan komen dungu sesetengah netizen yang merasakan apa yang dilihat itu kelakar kerana ada sesetengah adegan yang memaparkan mereka makan di bulan Ramadan sambil berkejaran, menutup muka dengan segala peralatan yang dapat dicapai untuk menutup malu dan sebagainya.

Perlu ditegaskan di sini, apa yang dimuatnaik itu sebenarnya jelas menggambarkan iman dan fitrah kita sebagai seorang Muslim itu sudah rosak dan mati. Perbuatan mendedahkan maksiat sendiri secara terang-terangan adalah di antara dosa besar. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Setiap umatku diberikan keampunan melainkan golongan yang melakukan maksiat secara terang-terangan. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: ‘’Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini’’. Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya.” (HR Bukhari).

Seseorang yang melakukan maksiat secara terbuka dan terang – terangan, maka orang tersebut dianggap melakukan kezaliman ke atas dirinya sendiri atas maksiat yang dilakukan. Dia juga telah melakukan dosa ke atas orang lain kerana menjadi faktor orang lain turut mengikut maksiat yang dia lakukan.

Sebagai seorang Muslim yang beriman, tidak sewajarnya merasa bangga dengan menyebarkan atau menayangkan dosa dan maksiatnya di khalayak ramai. Daripada Nawwas bin Sam’an RA, Nabi SAW bersabda:

“Kebaikan adalah dengan berakhlak yang mulia. Sedangkan dosa adalah sesuatu yang menggelisahkan hatimu. (Ketika dosa tersebut dilakukan), tentu engkau tidak suka hal itu nampak di tengah-tengah manusia.” (HR Muslim).

Maka dari itu, jauhilah dosa besar dan kesan buruk yang terhasil dari perbuatan mujaharah bil maksiat (melakukan maksiat secara terang-terangan) ini.  Perbuatan menayangkan dosa yang telah dilakukan termasuk dalam perbuatan menjaharkan maksiat.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 

Comments