BERSEDEKAH DI BULAN RAMADAN RAIH ‘BONUS KHAS’ DARIPADA ALLAH SWT


Ramadan adalah sebaik – baik bulan untuk merebut dan meraih 'bonus khas' yang tidak terdapat dalam bulan lain. Antara amalan yang sering dilakukan umat Islam di bulan Ramadan adalah bersedekah. Oleh itu, amat wajar umat Islam menyediakan bajet khusus untuk bersedekah seperti memberi sumbangan makanan kepada orang puasa. Ini sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

"Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikit pun kurang pahala orang berpuasa.” (HR Ahmad).

Salah satu pintu yang dibuka oleh Allah SWT untuk meraih keuntungan besar dari bulan Ramadan adalah melalui sedekah. Islam sering menganjurkan umatnya untuk banyak bersedekah. Dan bulan Ramadan, amalan ini menjadi lebih dianjurkan lagi. Dan demikianlah sepatutnya akhlak seorang mukmin, iaitu dermawan. Allah SWT dan RasulNya memerintahkan bahkan memberi contoh kepada umat Islam untuk menjadi orang yang dermawan serta pemurah. Ketahuilah bahwa kedermawanan adalah salah satu sifat Allah SWT, sebagaimana dalam sebuah hadis:

“Sesungguhnya Allah itu Maha Memberi, Ia mencintai kedermawanan serta akhlak yang mulia, Ia membenci akhlak yang buruk.” (HR Baihaqi).

Kita hendaklah mengambil ruang dan peluang ini untuk melakukan amal sedekah dengan sebanyak mungkin selagi mengikut kemampuan kita. Pendek kata peluang untuk meraih ganjaran ini terbuka luas di depan mata, tinggal lagi bersediakah kita untuk melakukannya. Perlu juga diingat untuk bersedekah tidak semestinya banyak atau sudah berstatus kaya-raya. Setiap Muslim boleh bersedekah mengikut kemampuan masing-masing. Apa yang penting ia dibuat dengan niat ikhlas kerana Allah SWT supaya diterima amalan yang dilakukan.

Sumber: Portal Rasmi Jabatan Mufti Negeri Kedah Darul Aman


 

Comments