CAKNA SENSITIVITI AGAMA WALAU BERLAINAN BANGSA ELAK BERLAKU PENGHINAAN AGAMA

 

Kepelbagaian agama yang wujud di Malaysia boleh membentuk dua keadaan sama ada konflik atau kedamaian. Sekiranya titik persamaan antara penganut agama tidak dapat dicapai, masyarakat akan berdepan dengan pelbagai konflik agama. Usaha utama dalam memastikan keharmonian terpelihara adalah melalui sikap memahami sensitiviti agama-agama berdasarkan fahaman agama tersebut.

Hal ini kerana sensitiviti setiap agama adalah berbeza-beza. Kefahaman tersebut merangkumi aspek-aspek seperti perkara yang dibolehkan dan tidak dibolehkan dalam sesuatu agama atau perkara yang menganggu perasaan penganut agama tertentu. Ianya bagi memandu tindakan penganut agama apabila terjadinya interaksi dua hala dengan penganut agama lain agar tindakan tersebut tidak sampai mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan penganut agama tersebut. Kegagalan dalam memahami sensitiviti agama lain mampu menimbulkan pelbagai isu dan konflik antara agama.

Contohnya, isu terkini yang menyentuh sensitiviti agama seperti penggunaan kalimah Allah di stokin yang dijual di supermarket. Tidak berhenti di situ, rentetannya seorang juruteknik aplikasi sosial berbangsa Cina membuat pelbagai komen dan senda gurau terhadap kalimah Allah. Meskipun pemuda tersebut mengaku bersalah dan mendakwa tidak mengetahui bahawa kalimah Allah adalah kalimah sensitif yang boleh dikategorikan sebagai menghina agama Islam, hal ini membuktikan bahawa masih terdapat ramai rakyat Malaysia yang tidak mengambil cakna isu yang boleh mendatangkan ketidakharmonian antara agama mahupun bangsa dalam negara.

Jelasnya isu agama merupakan satu isu yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia. Demi menjaga sensitiviti ini, pihak-pihak yang bertanggungjwab perlulah memperluaskan kefahaman masyarakat majmuk ini terhadap sensitiviti agama-agama supaya tidak menyentuhnya dengan sengaja serta memperkukuhkan lagi perundangan berkait bagi menunjukkan bahawa betapa beratnya tindakan menghina agama. 

Sumber: International Journal of Islamic Thought, Vol. 18 dan Harian Metro – 22 MAC 2024


Comments