DIDIKLAH DIRI AGAR TERUS MENCINTAI AL – QURAN AL – QURAN ADALAH CAHAYA YANG MENERANGI HIDUP UMAT ISLAM


Tidak lama lagi, kita akan menyambut kedatangan bulan yang mulia iaitu bulan Ramadan. Pasti ada di antara kita yang sudah tidak sabar untuk menyambut kedatangan bulan ini dengan semangat dan iltizam untuk beribadah dengan lebih baik dari tahun sebelumnya. Tidak kurang juga ada yang menganjurkan acara tadarus dan tadabbur al – Quran bagi mengisi ruang – ruang waktu di sepanjang bulan yang mulia itu. Nah, inilah masanya kita mengambil peluang untuk memperbaiki bacaan dan melatih diri kita mencintai al – Quran. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan mendirikan solat serta menginfaqkan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka secara sembunyi atau terbuka dengan mengharapkan (daripada amalan yang demikian) sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.” (QS al – fathir: 29).

Antara kelebihan mencintai al – Quran adalah:

1. Tidak nyanyuk sampai tua.

2. Orang yang junjung Al Quran di dalam dirinya akan di jaga keselamatannya oleh Allah SWT di dunia, di dalam kubur dan pada hari akhirat. Walaupun di dunia dia di benci oleh orang tapi Allah SWT tetap menjanjikan keselamatan dalam dirinya, sepertimana Al Quran yang Allah SWT sediakan para malaikat untuk menjaga setiap hurufnya.

3. Wajahnya bercahaya cahaya dan mesra untuk di dekati.

4. Orang yang membaca Al Quran tidak di hina. Dia tidak akan menjadi peminta sedekah atau makan sampah di jalanan, misalnya.

5. Pengamal Al Quran hidupnya tampak sederhana tetapi sebenarnya dia kaya dengan sumber rezeki yang tidak diduga. Inilah lambang keberkatan yang Allah SWT hadiahkan padanya.

Oleh itu, jangan biarkan waktu kosong dibiarkan tanpa membuat sebarang perkara bermanfaat.  Tidak kira walau di mana kita berada, gunakan peluang beberapa minit itu untuk membaca surah mudah yang kita hafal. Barang siapa yang mengerjakan satu kebaikan yang diniatkan semata-mata kerana Allah SWT, paling sedikit dia akan mendapat 10 pahala. Daripada Saidatina Aisyah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

“Orang yang membaca al-Quran dan menjaganya (membacanya dengan betul dan mengamalkannya) akan bersama para malaikat yang mulia. Adapun orang yang membaca al-Quran dengan sungguh-sungguh dan mengalami kesulitan, dia akan mendapat dua pahala.” (HR Bukhari dan Muslim).

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 

Comments