Menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), fenomena El Nino atau cuaca panas yang melanda negara pada ketika ini dijangka berlanjutan sehingga Ramadan. Ramalan MetMalaysia juga menunjukkan cuaca kering dan panas berterusan sehingga awal April, dengan suhu tertinggi harian mencecah 37 darjah Celsius. Kesan daripada perubahan iklim, suhu di pelbagai negara Asia termasuk Malaysia kini meningkat dan mencatat rekod lebih tinggi berbanding biasa. Keadaan yang berlaku secara berterusan ini disebut sebagai 'gelombang haba' yang boleh mengakibatkan risiko kesihatan seperti dehidrasi, kekejangan panas, keletihan haba dan strok haba yang boleh membawa maut.
Kita meyakini panas dan sejuk tabiat alam semula jadi yang ditetapkan oleh Allah SWT. Malah, kedua-duanya boleh menyebabkan kematian sekiranya kawasan yang mengalami iklim panas terdedah kepada cuaca panas yang melampau atau kawasan yang mengalami iklim sejuk terdedah kepada cuaca sejuk yang ekstrem. Namun, kita juga wajib meyakini yang ini semua ujian daripada Allah SWT. Allah SWT memberi ujian kepada hambaNya bukan kerana benci, tetapi ia berketepatan dengan kemampuan orang tersebut. Firman Allah SWT:
“Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (QS Al – Baqarah: 155).
Dalam sebuah hadis, Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
"Neraka pernah mengadu kepada Tuhannya seraya berkata: 'Wahai Tuhanku, sebahagianku telah memakan sebahagian yang lain.' Lalu, Dia pun mengizinkan neraka dengan dua hembusan nafas, satu nafas pada musim sejuk dan satu nafas lagi pada musim panas. Maka, itulah dia (sebab) hawa paling panas yang kamu sekalian dapat rasakan dan juga hawa paling sejuk yang kamu sekalian dapat rasakan." (HR Bukhari dan Muslim).
Namun demikian, yakinlah bahawa ujian yang menimpa bukan sia-sia. Sudah pasti akan ada hikmah dari Sang Pencipta. Anggaplah ujian sebagai salah satu lumrah dalam kehidupan. Sebagaimana janji Allah SWT dalam Surah Al Insan ayat 2-3 yang bermaksud:
“Sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia daripada setitis air mani yang bercampur, yang Kami menguji (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat. Sesungguhnya, Kami telah menunjukkan kepadanya jalan yang lurus, ada yang bersyukur dan ada pula yang kufur.”
Maka dari itu, yakinlah dengan ujian Allah SWT yang satu ini merupakan peluang bagi kita untuk memhon ampun dan perlindungan daripadaNya. Cuaca yang sangat panas adalah suatu ujian namun kita dibenarkan untuk melindungi diri daripadanya. Rasulullah SAW bersabda:
"Jika panas menjadi sangat terik, maka tunggulah hingga sejuk sedikit untuk bersolat (Zuhur) kerana panas yang sangat terik itu adalah daripada hembusan neraka Jahanam." (HR Bukhari dan Muslim).
Sumber: Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)
Comments
Post a Comment