HENTIKAN ‘CONTENT’ MEDIA SOSIAL BERSIFAT DUNGU!! MEMBUKA AIB DEMI RAIH ‘RATING’ TINGGI HINGGA MENGUNDANG MURKA ALLAH SWT
Tidak dinafikan di zaman media sosial dan teknologi canggih ini ramai di kalangan kita mengambil peluang untuk memulakan hidup dengan menjana pendapatan untuk diri sendiri dan keluarga. Semakin hari semakin ramai di kalangan kita khususnya golongan belia memilih untuk menjadi pempengaruh (influencer) di media sosial dalam menjana pendapatan. Hal ini kerana tugasnya mudah hanya perlu bermodalkan percakapan sahaja sudah meraih pendapatan yang boleh dikatakan agak lumayan.
Namun, tidak kurang juga dari kalangan mereka yang memilih media sosial ini untuk meraih ‘rating’ tinggi dan menjadikan mereka bahan perhatian warga netizen. Ini seperti salah satu ‘channel’ di platform TikTok di mana satu temubual dijalankan kepada seorang wanita secara rawak dengan ‘headline’ “berapa kali / ramai lelaki yang you ikut balik selepas berhibur di kelab malam”. Sebelum ini, ‘channel’ tersebut mendapat perhatian warga netizen selepas menemubual seorang remaja perempuan dengan ‘headline’ “you tak suka lelaki yang macam mana?”. Hasilnya, remaja itu dihentam secara berjemaah oleh warga netizen sehinggakan akaun media sosial peribadinya juga diceroboh.
Sampai bila masyarakat kita mahu ‘dihidangkan’ dengan ‘content’ dungu seperti ini?! Cubaan membuka aib dengan rasa bangga yang akhirnya mengundang murka Allah SWT. Memang benar seperti yang digambarkan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.” (HR At – Tirmidzi).
Sekali kita membuka aib orang lain, maka aib kita akan dibuka oleh Allah SWT. Seharusnya dalam hal ini, pemantauan pihak berwajib dalam menyaring ‘content – content’ seperti ini perlu diperketatkan agar tidak menjadi contoh kepada generasi muda akan datang. Buat ‘content creator’ ini, artikel ingin menasihatkan agar anda menghentikan ‘content’ yang tidak berfaedah seperti ini. Adakah anda tidak fikir dosa yang anda tanggung kerana dengan sengaja mereka – reka ‘content’ yang mengundang aib masyarakat? Kepada yang ditemubual, jangan terlalu bangga dengan jawapan aib yang diberi. Allah SWT sudah menutup aib anda dengan serapat mungkin dan anda dengan bangga menayangkannya semula. Di mana pemikiran anda?
Kehidupan di dunia masa kini terlalu banyak perkara yang sia-sia. Justeru itu seorang Muslim perlu bijaksana membuat keputusan dalam hidupnya agar mengamalkan sesuatu yang yang memberi faedah sahaja. Amat baik seorang muslim meninggalkan perkara yang membuang waktu dan tiada kaitan dengan tujuan manusia diciptakan iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. FirmanNya:
“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)Nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)Nya.” (QS Az-Zalzalah :7-8).
Sumber: Portal Interaktif e – Dakwah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan
Comments
Post a Comment