IJTIHAD ISLAM LIBERAL MENGUBAH PRINSIP-PRINSIP ISLAM BERASASKAN AKAL FIKIRAN MEMESONGKAN UMAT ISLAM

 

Islam liberal menyeru ke arah pembukaan pintu ijtihad, kefahaman Islam yang terbuka dan progresif. Islam liberal percaya bahawa ijtihad atau pemikiran rasional atas teks-teks keislaman adalah prinsip utama yang memungkinkan Islam terus boleh bertahan sepanjang zaman. Ijtihad yang mereka tekankan tidak lain tidak bukan merupakan usaha untuk memperbaharui fiqh Islam. 

Fiqh yang selama ini dipakai oleh umat Islam dianggap sebagai faktor kemunduran dan keterbelakangan umat Islam saat ini. Salah satu kritikan yang kerap dilontarkan adalah fiqh bersikap diskriminasi terhadap bukan Islam. Selain itu, fiqh Islam selalu meletakkan wanita sebagai ‘subordinate’ lelaki. 

Oleh sebab itu, golongan liberal mendesak untuk direformasi atau distrukturkan semula fiqh Islam daripada kerangka metodologi asal yang digunakan untuk menghasilkan fiqh baru sebagaimana yang dibuat oleh gerakan Jaringan Islam Liberal (JIL). Mereka berusaha menghasilkan fiqh baru dengan menggunakan ijtihad mereka sendiri iaitu berasaskan logik akal fikiran. Inilah agenda utama kewujudan Islam liberal yang cuba membentuk penafsiran tertentu terhadap asas atau prinsip-prinsip Islam dengan cara membuka pintu ijtihad kepada semua ‘dimensi Islam’ yang dianggap menyebabkan kemunduran hanya menggunakan akal fikiran oleh orang-orang yang tidak berkelayakan.

Sumber: Jurnal al-Mawardi Edisi XV


Comments