Falsafah liberalisme mengangkat kebebasan individu dalam semua aspek termasuk agama, ekonomi, ideologi dan politik melebihi syarak. Kewujudan golongan Islam liberal ini boleh mengganggu gugat keharmonian dan kesucian agama Islam dan penganutnya sendiri. Golongan ini semakin rancak menjaja dan mencanang gagasan pemikiran liberal mereka dengan berselindung di sebalik tuntutan kebebasan dan hak asasi manusia.
Falsafah liberalisme yang meletakkann akal pada tempat yang paling tinggi melebihi syariat Islam dan sumbernya iaitu al-Quran dan as-Sunnah menyebabkan fahaman ini secara jelasnya terpesong dari ajaran Islam sebenar. Golongan Islam liberal ini tidak menzahirkan diri mereka sebagai orang yang menolak agama, tetapi berselindung di sebalik gagasan mengkaji semula agama, mentafsir semula al-Quran, menilai semula hadis Nabi Muhammad SAW dan menapis semula hukum-hakam syariat Islam dan fiqah.
Mereka juga menolak segala tafsiran yang dianggap lama dan kolot termasuklah tafsiran daripada Rasulullah SAW, para Sahabat serta ulama mujtahid. Bagi mereka, agama hendaklah dipadankan dengan realiti semasa agar dapat disesuaikan dengan kemodenan hari ini, sekalipun terpaksa menafikan hukum-hakam yang disyariatkan Islam. Ini bermaksud, sekiranya hukum yang difikirkan tidak menepati zaman, kemodenan dan hak-hak manusia, maka hukum tersebut hendaklah ditakwilkan atau sebolehnya digugurkan.
Justeru itu, umat Islam janganlah terpengaruh dengan fahaman meragukan yang diperjuangkan oleh golongan Islam liberal ini, kelak terpesong akidah dari ajaran Islam sebenar. Berhati-hatilah.
Sumber: Jurnal al-Ummah, Vol. 2 – Universiti Kebangsaan Malaysia
Comments
Post a Comment