KESIHATAN MENTAL ‘KUNCI’ UTAMA AGAMA TERPELIHARA DARI DIPERSENDAKAN

 

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 mendapati berlaku kemerosotan dalam kesihatan mental rakyat Malaysia. Kesejahteraan mental yang semakin terhakis itu menyebabkan kesukaran untuk mengawal emosi sehingga boleh mengundang kepada tindakan di luar batasan. Lebih dikhuatiri apabila tindakan luar batasan tersebut melibatkan perbuatan atau ucapan yang mempersendakan agama sehingga memberi implikasi pada diri dan masyarakat.

Umat Islam pada zaman kini seperti sudah kehilangan jati diri apabila berani mempersendakan agama Allah SWT secara terang-terangan terutamanya di media sosial tanpa rasa bersalah. Hal ini boleh dikaitkan dengan sebuah video viral seorang ‘public figure’ yang membuat ugutan untuk murtad sekiranya masyarakat terus menghakimi setiap perbuatannya, malah menyalahkan netizen sekiranya dia murtad kelak.

Isu kemurtadan ini dianggap sebagai isu sensitif oleh umat Islam apabila diperkatakan secara terbuka dengan andaian yang tertentu. Ucapan murtad bukanlah kalimah yang boleh dijadikan mainan. Ia juga bukan ucapan kontroversi untuk meraih populariti dan simpati. Ucapan murtad tersebut sama ada atas asbab bergurau, kecewa, mengajuk dan sebagainya adalah ucapan untuk memutuskan kepercayaan terhadap agama Islam yang benar selain ia sangat ditegah dan dilaknat dalam Islam.

Justeru itu, begitulah pentingnya penjagaan kesihatan mental kerana dengan akal yang waras sudah pasti membataskan seseorang itu dari apa-apa perbuatan yang tidak menyalahi ajaran agama. Sedarlah bahawa perbuatan mempersendakan agama merupakan dosa besar bahkan telah dijanjikan oleh Allah SWT bagi mereka azab yang amat perit. Bahkan Allah SWT menyuruh menjauhkan diri dari golongan tersebut seperti mana dalam Surah al-An’am, ayat 70, maksudnya:
“Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan dan mereka telah diperdayakan oleh kehidupan dunia”. 

Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia –MAC 2024, Jurnal al-Afkar- Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Oh! Media – 21 MAC 2024


Comments