Ibadah umrah merupakan satu ibadah yang tidak ternilai harganya di mata umat Islam. Hal ini kerana tidak semua di antara kita mendapat peluang tersebut dek kerana masalah ekonomi, keluarga dan kekangan masa. Namun apa, ada sebilangan daripada kita yang sudah mendapat peluang ini tetapi tidak digunakan sebaiknya sebaliknya ia dijadikan sebagai satu bahan “content” untuk media sosial mereka.
Ini seperti yang terjadi kepada salah seorang pempengaruh dan usahawan negara apabila beliau bersama – sama ‘team’ pekerjanya mendapat peluang untuk mengerjakan umrah. Di dalam video yang dimuatnaik ke dalam akaun TikToknya memaparkan adegan bagaimana beliau bergasak dan melakukan tolak – menolak di antara para jemaah hanya semata – mata untuk memberi laluan kepada kumpulan pekerja wanitanya untuk mencium Hajar Aswad.
Bahkan, kelihatan ihramnya sedikit terlondeh hingga menampakkan sebahagian badannya. Dalam hal ini, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata hukum mencium hajar aswad adalah haram sekiranya membahayakan termasuk menyebabkan masalah, kesakitan kepada diri sendiri dan orang lain. Bahkan di sisi ulama Syafi’iyyah, hukum asal bagi wanita adalah tidak disunatkan bagi mereka mencium hajar aswad kecuali keadaan di mataf agak lengang.
Agak janggal apabila ibadah yang suci dan mulia itu dirosakkan dengan penggunaan telefon pintar yang diangkat untuk merakam video dan gambar yang bukan pada masanya. Sewajarnya di hadapan Baitullah, kita beribadah dan berdoa sesungguh – sungguhnya dengan penuh pengharapan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa – dosa kita dan mengurniakan kepada kita dengan segala kebaikan dan ganjaran pahala serta syurga yang tidak ternilai harganya. Dengan itu sahaja pun kita sudah cukup sibuk tanpa sempat memikirkan masa untuk mencipta “content”. Ingatlah, umrah adalah ibadah, bukan pelancongan “kerohanian”.
Firman Allah SWT:
“Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (QS al – An’am: 162).
Sumber: Laman X Dr. Zulkifli Mohamad Al – Bakri
Comments
Post a Comment