PELAJARILAH ILMU AGAMA DARIPADA GURU YANG BERTAULIAH

 

Mutakhir ini, banyak video mengenai pengajian agama yang dimuatnaik di semua platform media sosial yang memudahkan umat Islam di negara ini untuk mempelajari dan mendalami ilmu agama dengan lebih mudah. Namun, apa yang merisaukan adalah tentang sesetengah ilmu yang diajarkan itu adakalanya tidak bertepatan seperti mana yang termaktub di dalam kitab dan cuma bersandarkan pandangan semata. Sudah banyak kali ditemui sebaran di laman sosial mengenai hadis tidak sahih serta kisah agama yang tidak diketahui sumber asalnya. 

Urusan penyebaran urusan agama mesti berdasarkan ilmu yang sahih. Sebarang kegiatan memperkatakan mengenai agama Allah tanpa berdasarkan ilmu, bererti seseorang itu melakukan pendustaan terhadap Allah SWT. Sekiranya tidak berhati-hati, ia boleh menyebabkan apa sahaja dianggap sebagai benar sedangkan perkara itu tidak mendapat pengesahan pihak berkuasa berkenaan. Urusan penyebaran urusan agama mesti berdasarkan ilmu yang sahih. Sebarang kegiatan memperkatakan mengenai agama Allah SWT tanpa berdasarkan ilmu, bererti seseorang itu melakukan pendustaan terhadap Allah SWT.  Firman Allah SWT:

“Dan tidaklah Kami mengutuskan rasul-rasul sebelummu (Wahai Muhammad) melainkan daripada kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu, bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.” (QS al-Nahl: 43).

Kini, ilmu pengajian agama tidak lagi dirujuk kepada para asatizah yang bertauliah tetapi hanya berdasarkan pengalaman dan logik akal semata-mata. Perkara ini amat membimbangkan, kerana membabitkan hukum yang rumit. Lebih membimbangkan adalah percanggahan ilmu yang disampaikan akan membuatkan umat Islam menjadi bertambah keliru dan akhirnya memilih untuk meninggalkan sahaja pengajian mengenai agama Islam. Bak kata pepatah Melayu: Matlamat tidak menghalalkan cara. Amalan yang dilakukan tanpa didasari ilmu menyebabkan tidak adanya hal bermanfaat yang akan dihasilkan. Allah SWT berfirman dalam surah Al – Isra’, ayat 36:

"Janganlah engkau mengikuti sesuatu yang tidak engkau ketahui. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati nurani, semua itu akan ditanya dan dipertanggungjawabkan."

Rasulullah SAW dalam sebuah hadis bersabda:

"Para ulama pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar ataupun dirham, tetapi mewariskan ilmu. Maka dari itu, barang siapa mengambilnya, ia telah mengambil bahaian yang cukup." (HR Abu Daud).

Sedikit nasihat buat semua Muslim, pelajarilah selok – belok mengenai agama Islam sebaik-baiknya menerusi guru yang sudah diberi pentauliahan penuh oleh Jabatan Agama Islam Negeri ataupun Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM). Bukan semata-mata merujuk kepada video dimuat turun dari laman sesawang atau media sosial. Peranan guru sebenar penting bagi memastikan ilmu agama yang dipelajari dilaksanakan sempurna dan diterima Allah SWT.

Sumber: Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)


Comments