Esok merupakan 17 Ramadan 1445 Hijrah menandakan kita sebagai umat Islam akan menyambut hari Nuzul Quran. Nuzul Quran disambut setiap 17 Ramadan oleh semua umat Islam di seluruh dunia sebagai tanda turunnya ayat pertama Al-Quran oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW dan berterusan secara berperingkat2 selama 23 tahun hingga menjadi lengkap sebagaimana kitab Al-Quran yang ada pada hari ini. Pada ketika ayat pertama diturunkan, Baginda SAW berusia 41 tahun dan diturunkan semasa Baginda berada di Gua Hira.
Perkataan “Nuzul” bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Ayat Al-Quran yang pertama diturunkan Allah SWT melalui perantaraan Malaikat Jibril A.S ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq. Allah SWT berfirman:
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (QS al – Alaq: 1-5).
Melalui amalan membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan kalam Allah SWT itu, ia berupaya menjadi inspirasi dan pemangkin semangat bagi masyarakat Islam untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan di dunia dan di akhirat. Melalui peristiwa wahyu pertama inilah manusia perlu merenung berkenaan cara mendapatkan ilmu melalui catatan dan sumber pengetahuan itu digunakan untuk membimbing manusia. Membaca dan menulis adalah kemahiran asas yang sangat penting dalam pengajaran, pembelajaran dan pemupukan budaya ilmu. Firman Allah SWT:
“Al-Quran ini menjadi panduan-panduan yang membuka mata hati manusia dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat bagi kaum yang meyakini (kebenarannya).” (QS al – Jathiyah: 20).
Ketahuilah, bahawa membaca al-Quran mengandungi fadilat besar yang sukar untuk ditolak oleh sesiapa pun. Ini kerana Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala yang begitu banyak kepada golongan yang membaca al-Quran sebagai rutin harian mereka. Al-Quran adalah kamus hidup manusia. Al – Quran juga mampu menghidupkan kembali jiwa, rohani dan minda manusia. Al – Quran lah pelengkap segala kehidupan.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Comments
Post a Comment