Surah an-Nisa, ayat 136, maksudnya:
Dan sesiapa yang kufur terhadap Allah dan para malaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, dan Hari Akhirat, maka sesatlah ia dengan kesesatan yang sejauhnya (dari kebenaran).
Jahil adalah salah satu sifat keji kerana mendorong kepada tindakan mendustakan Allah dan Rasul, sombong, degil, syirik dan melampau. Kejahilan dari sudut akidah, syariah atau akhlak menjadi punca kepada kesesatan. Masyarakat Arab jahiliah suatu ketika dahulu digelar sebagai jahil kerana mencampuradukkan kepercayaan agama dengan penyembahan berhala, amalan sihir dan khurafat.
Seseorang yang jahil tidak mempunyai pengetahuan sebenar terhadap sesuatu perkara atau kepercayaan, lebih parah lagi jika golongan ini mendakwa bahawa mereka berada di pihak benar. Sekaligus menimbulkan keraguan kepada pihak lain. Kesesatan juga disebabkan oleh sifat ego, degil, menentang dan menolak kebenaran sebagaimana yang berlaku ke atas kaum keluarga Nabi Nuh a.s. Sifat ego juga digambarkan melalui penolakan iblis terhadap perintah Allah SWT sehingga akhirnya diusir dari syurga.
Oleh sebab itu, perlunya bersifat rendah diri dan perlunya mempunyai ilmu kerana Rasulullah SAW memberikan amaran bahawa memperkatakan sesuatu tanpa ilmu akan membawa kepada kesesatan sebagaimana maksud sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak mengangkat ilmu secara sekali gus daripada hamba-hambaNya tetapi mengangkatnya dengan cara mematikan ulama sehingga tidak ada lagi orang alim, orang ramai mengangkat pemimpin yang jahil (menjadi pemimpin mereka). Pemimpin itu ditanya mengenai sesuatu isu, lalu mereka mengeluarkan fatwa tanpa berdasarkan ilmu. Mereka menjadi sesat dan menyesatkan orang lain.” ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment