Raya yang disambut adalah suatu kemenangan yang diraih oleh umat Islam di atas perjuangan mengalahkan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadan. Bermula dengan bangun sahur yang melatih kita untuk bangun waktu malam bagi melaksanakan ibadah, puasa yang melatih diri kita meninggalkan kehendak hawa nafsu secara zahir atau batin, berbuka puasa yang melatih kita memberi, Tarawih yang melatih diri untuk rajin solat sunat, qiamulail yang melatih kita untuk seronok bermunajat kepada Allah dan iktikaf melatih kita untuk mengikat hati dengan masjid.
Kesemua ini dilatih secara pakej dalam bulan Ramadan bagi golongan yang melalui bulan mulia ini dengan sepenuh ketaatan kepada Allah SWT dan hadiah terbesar di bulan Ramadan ialah Lailatul Qadar yang merupakan malam pengampunan, dikabulkan hajat, dilepaskan daripada api neraka dan dilipatkan pahala seperti 1000 bulan. Ini juga dikira sebagai jihad untuk memperbaiki diri kita ke arah yang lebih baik. Ini menerusi hadis sabda Rasulullah SAW:
"Musuhmu yang paling ganas ialah nafsumu sendiri yang berada antara dua sisimu." (HR Baihaqi).
Dalam Ihya Ulumuddin, Imam Al-Ghazali berkata, antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara disukai Allah SWT daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin. Oleh itu seseorang yang mencintai Allah SWT sanggup memikul kerja yang sukar serta sanggup melawan hawa nafsunya kerana Allah SWT. Perkara utama ditekankan al-Quran bagi menentang hawa nafsu yang mendorong kepada kejahatan dan maksiat kepada Allah ialah menunaikan ibadah solat. Maka demikian juga untuk kita mengetahui sama ada kita memanfaatkan sebaik mungkin keluasan rahmat bulan Ramadan atau tidak adalah dengan kita melihat amalan kita setelah Ramadan adakah sama atau berkurang. Para ulama sepakat bahawa amalan itu memberi kesan kepada keperibadian seseorang. Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perkara keji dan mungkar." (QS Al – Ankabut: 45).
Kesan daripada orang yang rajin menjaga solatnya ialah dirinya akan terpelihara daripada perbuatan keji dan kemungkaran. Begitu juga amalan lain akan memberi kesan kepada seseorang. Disebabkan itu seseorang yang benar-benar menjalani bulan Ramadan dengan cara yang terbaik pasti akan memberi kesan pada dirinya setelah Ramadan. Allah SWT berfirman dalam surah al – Ankabut, ayat 69 yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan), dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah bersama orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”
Persoalannya adakah kita mengalami perubahan itu setelah Ramadan atau tidak? Marilah kita bermuhasabah.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment