PERANAN PRO-AKTIF MALAYSIA MENDOKONG KEBEBASAN PALESTIN DARI CENGKAMAN ZIONIS

Dasar luar Malaysia berhubung dengan konflik Israel-Palestin iaitu mengutamakan keselamatan dan keamanan di rantau Asia Barat atau Timur Tengah. Krisis keamanan dan pergolakan yang melanda kedua negara ini mendesak Malaysia memainkan peranan yang pro-aktif terutamanya berkaitan dengan konflik Israel-Palestin. Peranan Malaysia sebagai agen pengaman telah diiktiraf dunia. Malahan Malaysia dipandang tinggi kerana komitmen dan konsistensi dalam memperjuangkan dan menyokong keamanan dunia terutamanya isu Palestin.

Misalnya, Malaysia secara terbuka dan lantang memperjuangkan hak asasi rakyat Palestin, menggesa masyarakat antarabangsa bersungguh-sungguh menangani konflik ini dan pembentukan dasar luar Malaysia semenjak mencapai kemerdekaan adalah menjalinkan hubungan erat dengan negara-negara Islam dan Arab. Sepertimana desas-desus Indonesia yang dikatakan cuba menormalisasikan hubungan diplomatik dengan Israel walaupun tidak tahu sejauh mana kebenarannya, namun Malaysia tetap berpendirian tegas untuk tidak menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel dalam usaha menentang sekeras-kerasnya dasar zionisme di Palestin. 

Masyarakat Islam harus sedar bahawa isu Palestin-Israel adalah isu global yang seharusnya ditangani dengan segera. Konflik yang melibatkan pencerobohan sesebuah negara ke atas sebuah negara berdaulat tidak seharusnya dipandang enteng, sebaliknya negara-negara Islam perlu bersatu memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin dari cengkaman zionisme. Iran telah mengambil langkah menyerang Israel dengan serangan 350 peluru berpandu seolah-olah mencabar pihak Israel untuk berperang setelah Israel mengebom kedutaan Iran. Namun, Malaysia tetaplah memperjuangkan kebebasan Palestin ini secara 'halus’ dan ‘lembut’ demi menjaga keamanan dan keselamatan negara. Pada masa yang sama, Malaysia tidak akan pernah tunduk atau takut dengan tekanan Israel atau Amerika Syarikat mahupun kuasa-kuasa besar lain. 


Sumber: International Journal of Politics, Public Policy and Social Work, vol. 1(1) - UKM

Comments