PUASA HARI PUTIH DAN FADHILATNYA

 

Selain puasa 6 Syawal yang dilakukan oleh kebanyakan orang Islam selepas menyambut Aidilfitri, terdapat satu lagi amalan puasa yang dilakukan juga oleh umat Islam dikenali sebagai puasa "Ayyaamul Bidh” atau lebih popular digelar puasa hari putih. Ia merupakan puasa sunat yang boleh dijalankan setiap bulan pada hari ke 13, 14, dan 15 bulan Islam kecuali pada 13 Dzulhijjah kerana tarikh itu sebahagian daripada Hari Tasyriq.

Puasa ini sangat digalakkan untuk dilakukan oleh umat Islam, kerana kebaikan yang diperoleh jika anda melakukannya adalah sangat banyak. Perkara ini telah dinyatakan Rasulullah SAW dalam hadis riwayat berikut:

"Puasa pada 3 hari tiap bulannya merupakan serupa puasa sepanjang tahun." ( HR Bukhari).

Di antara fadhilat dalam melakukan puasa hari putih adalah seperti berikut:

1) Memperolehi ganjaran puasa selama setahun. Daripada Ibnu Milhan al-Qaisi daripada ayahnya, dia berkata: 

"Rasulullah SAW memerintahkan kami agar berpuasa pada hari bidh iaitu pada tiga belas, empat belas, dan lima belas. Beliau berkata; hari-hari tersebut umpama setahun." (HR Abu Daud).

2) Dapat meningkatkan kesihatan tubuh badan.

3) Dapat mengamalkan sunnah Rasulullah SAW. 

4) Menjadi benteng mencegah maksiat. Dengan melakukan puasa sunat Ayyaamul Bidh ini, ia mampu melatih sifat sabar dan menjadi benteng yang melindungi diri seseorang daripada melakukan perbuatan keji dan maksiat. Sabda Rasulullah SAW:

"Puasa adalah perisai. Maka (orang berpuasa) janganlah berkata keji dan janganlah bertindak jahil. Jika seseorang hendak bergaduh atau memakinya, maka katakanlah: “Sesungguhnya aku berpuasa” diulangi dua kali.” (HR Bukhari).

Niat puasa hari putih:

"Sahaja aku berpuasa sunat hari putih kerana Allah Taala"

Jadi, kita sangat digalakkan untuk menunaikan puasa sunat puasa hari putih sebagaimana Nabi Muhammad SAW juga turut menggalakkan umatnya berbuat demikian kerana kelebihan yang akan diperoleh adalah sangat besar.

Sumber: Facebook Ustazah Asma' Harun


Comments