PUASA QADA’ DAN PUASA ENAM - MANA YANG LEBIH UTAMA?

 

Hari ini sudah memasuki 7 Syawal di mana sudah seminggu kita menyambut Hari Raya Aidilfitri. Bagi sebahagian daripada umat Islam, ini merupakan masa yang sesuai untuk melakukan puasa sunat Aidilfitri ataupun popular digelarkan sebagai puasa enam. Saban tahun pasti ada yang akan bertanya bolehkah kita melakukan puasa sunat enam dan digabung sekali bersama dengan puasa qada’ yang ditinggalkan?

Mengikut ulasan di dalam portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bertarikh 3 Jun 2019, sesiapa yang berbuka puasa pada bulan Ramadan tanpa sebarang keuzuran wajib ke atasnya menqadakan puasa tersebut serta – merta selepas tamatnya Ramadan dan selepas selesai hari raya yang pertama. Seseorang itu tidak boleh mendahulukan puasa sunat enam pada bulan Syawal kemudian diekori dengan puasa qada’. Akan tetapi, sekiranya seseorang itu tidak berpuasa pada bulan Ramadan kerana ada keuzuran (yang dibenarkan syarak) maka harus baginya mendahulukan puasa enam pada bulan Syawal daripada puasa qada’ kerana qada waktu puasa qadha adalah muwassa` (luas).

Berkenaan isu menggabungkan dua niat puasa ini, fuqaha dalam Mazhab Syafie berselisih pendapat tentang isu menggabungkan niat di antara puasa qada’ Ramadan dan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal. Menurut Syaikul Islam Zakaria al-Ansari Rahimahullahu Taala, jika seseorang berpuasa pada Bulan Syawal untuk qada’ bagi puasa Ramadan, atau selainnya sama ada puasa nazar atau puasa sunat lain maka terhasil pahala sunatnya. Kerana topik perbincangannya adalah tentang puasa pada enam hari daripada bulan Syawal…tetapi dia tidak akan memperolehi pahala yang sempurna sebagaimana yang diinginkannya melainkan dengan hanya dia berniat puasa khusus untuk enam hari pada bulan Syawal sahaja.

Sementara Imam Ibnu Hajar Al-Haitami Rahimahullahu Taala pula menyebut, jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib), dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya. Sebahagian ulama menyebut sah seseorang itu melakukan qada’ puasa bulan Ramadan bersama puasa sunat enam Syawal dan terhasil pahala puasa sunat yang dilakukan di dalam bulan Syawal tersebut. Hal ini kerana diqiyaskan dengan seseorang yang memasuki masjid kemudian solat dua rakaat fardu atau solat sunat rawatib (mengiringi solat fardu) maka terhasil sekali baginya pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid kerana ia melakukan solat berkenaan sebelum ia duduk.

Walupun begitu, perlulah diambil perhatian, maksud terhasilnya pahala puasa sunat enam Syawal apabila dimasukkan sekali dengan puasa fardhu adalah pahala semata-mata pahala sunat bukannya pahala yang sempurna.

Oleh itu, afdhal seseorang itu menjadikan puasa qada’ berasingan dengan puasa enam pada bulan Syawal. Namun begitu, menyatukan puasa qada’ dengan puasa enam itu tetap diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya mengikut pendapat yang dhaif. Walaupun begitu, menyegerakan qada’ puasa itu adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak terutama kepada sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur yang dibenarkan syarak.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Comments