SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI - ELAKKAN PEMBAZIRAN YANG MELAMPAU WALAUPUN KETIKA SEDANG BERSEDEKAH

Masih lagi di dalam suasana sambutan Aidilfitri, sudah tentu umat Islam masih lagi sedang di dalam ‘mood’ untuk berhari raya dan menziarahi saudara – mara. Tidak ketinggalan juga ada segelintir daripada kita sudah mula sibuk melakukan majlis rumah terbuka untuk meraikan para tetamu seperti sahabat handai, jiran tetangga dan juga saudara – mara. Akan tetapi, dalam meraikan kemeriahan Syawal, jangan sampai kita pula melakukan pembaziran. Memberi makan kepada orang lain sangatlah dituntut di dalam agama Islam. Ini kerana dengan memberi makan sahaja kita sudah dianggap bersedekah. Rasulullah SAW bersabda:


"Sebaik-baik kamu adalah yang memberi makan kepada orang lain." (HR Bukhari).


Namun, dalam kita bersedekah jangan pula sampai kita melakukan pembaziran. Kita mahu mendapatkan pahala bersedekah, bukannya dosa akibat dari pembaziran. Kita perlu sedar bahawa Ramadan yang telah dilalui itu banyak mendidik kita agar sentiasa berjimat cermat dalam berbelanja. Berbekalkan didikan yang diterima sepanjang Ramadan ini, kita perlu berusaha untuk memanfaatkannya bagi mengharungi kehidupan dalam sebelas bulan yang akan datang. Allah SWT berfirman:


“Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (QS Al – Isra’: 27).


Alangkah baiknya jika kita meninggalkan amalan pemborosan yang keji itu dan berbelanja pada kadar yang sepatutnya. Tetapkan bilangan jemputan supaya kita dapat menganggarkan perbelanjaan untuk majlis tersebut. Barulah kita tidak melakukan sebarang pembaziran dengan jumlah makanan yang melampau. Tahukah kita sepanjang bulan Ramadan tahun lepas sebanyak 384 kilogram makanan dibazirkan? Itu tidak termasuk dengan perkiraan tahun ini. Adakah kita ingin menjadi salah seorang daripada jumlah pembaziran tersebut dan secara tidak langsung dilabel sebagai “sahabat syaitan”?


Oleh itu, terapkan di dalam diri kita untuk sentiasa berjimat – cermat sepanjang musim perayaan ini. Islam mengeji perbuatan boros sebaliknya menggalakkan sifat hemah dan berhemat dalam menguruskan perbelanjaan. Islam menggalakkan sifat sederhana dalam perbelanjaan dan penggunaan. Sebagai umat Islam dan rakyat sebuah negara, kita perlu sedar dan sentiasa bersiap sedia jasmani dan rohani untuk melalui masa gawat dan kesempitan serta sanggup merubah sikap untuk berjimat cermat dan berhemat dalam perbelanjaan setiap masa. Maka, berwasatiyyah lah dalam berbelanja.


Sumber: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

Comments