AKHLAK GENERASI AKAN DATANG SEMAKIN MEMBIMBANGKAN - PANTAU DAN DIDIKLAH DENGAN SYARIAT ISLAMIYYAH

 

Sememangnya akhlak anak – anak dibentuk mengikut acuan yang dibuat oleh orang dewasa. Maksudnya di sini, bagaimana ia dididik maka begitulah hasil kejadiannya. Namun, akhir zaman ini memperlihatkan keruntuhan akhlak yang semakin membimbangkan. Bukan sahaja kepada anak – anak muda belia, tetapi juga anak – anak kecil. Ini seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan berhubung kejadian seorang kanak – kanak perempuan berusia sembilan tahun yang menawarkan khidmat s*** kepada rakan sekolahnya gara -gara tidak mampu menggantikan pemadam yang telah dirosakkan.

Walaupun pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan tiada kes difailkan kerana kisah kanak-kanak perempuan sembilan tahun itu disifatkan tiada liabiti jenayah, akan tetapi senarionya yang dilihat sangat menakutkan. Bagaimana seorang kanak – kanak dengan beraninya mempunyai pemikiran seperti itu sedangkan beliau dikategorikan sebagai anak bawah umur? Ini sememangnya menjadi mimpi ngeri bagi setiap ibu bapa. 

Namun, masih belum terlambat buat kita semua untuk membetulkan keadaan. Pemikiran kanak – kanak ini dibentuk sebagaimana orang dewasa yang mendidiknya. Jadi sudah semestinya kita yang dewasa ini menunjukkan akhlak dan sikap yang baik agar menjadi tauladan kepada mereka. Sabda Rasulullah SAW:

“Setiap anak yang lahir adalah didalam fitrah. Ibu bapa lah yang menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani.” (HR Bukhari dan Muslim).

Bukan itu sahaja, ketegasan kita dalam mengawal teknologi seperti penggunaan telefon bimbit dalam mengakses laman sesawang kepada mereka juga perlu diperketatkan. Hal ini kerana pada hari ini, terlalu banyak laman sesawang haram yang mudah diakses oleh semua peringkat umur. Peranan ibu bapa dan orang dewasa keliling adalah paling penting dalam menentukan peribadi dan hala tuju hidup generasi akan datang.

 Di samping itu, pemantauan dalam pergaulan sekeliling juga perlu diutamakan. Ini penting dalam mengawal gejala tidak sihat dari menular di dalam pergaulan seharian mereka. Ingatkan mereka selalu, bahawa setiap apa yang mereka buat adalah dilihat oleh Allah SWT dan akan sentiasa ditulis oleh malaikat, serta setiap perbuatan mereka, baik kecil atau besar, akan dibalas oleh Allah SWT dengan setimpalnya. 

Ketahuilah bahawa generasi kecil hari ini adalah penentu kepada masa depan negara yang maju pada akan datang. Rosak akhlak mereka, maka rosaklah negara kita. Pantau dan didiklah mereka dengan penuh ajaran syariat islamiyyah agar generasi Islam pada akan datang sentiasa berada di dalam rahmat Allah SWT dan menjadi pemimpin yang taat kepada Allah SWT, Rasulullah SAW dan agamanya.

Sumber: Laman Sesawang ISMA (https://isma.org.my/10-cara-didik-anak-cara-islam/)


Comments