ANGKARA IDEOLOGI "LIBERALISME" MELEBIHKAN AKAL DARIPADA NAS KELAK MEMBINASAKAN AKIDAH

 

Golongan Islam liberal menjadikan akal sebagai landasan utama dalam menentukan dan menetapkan hukum Islam. Sehebat apa pun akal, tetap saja merupakan salah satu komponen dalam diri manusia yang mempunyai potensi sekaligus keterbatasan. Di sisi lain, dalam diri manusia juga terdapat hawa nafsu, juga mungkin dilupakan oleh golongan Islam liberal yang sedikit sebanyak pasti akan mempengaruhi gerak akal.

Oleh sebab itu, akan terjadinya kekacauan apabila akal menjadi landasan utama dalam penetapan hukum. Pengalaman sejarah selalu membuktikan betapa terbatasnya akal manusia. Menurut Muhammad Imarah, tokoh dunia Islam, seringkali terbukti bahawa adakalanya di saat sekarang, akal tidak mengetahui suatu hal, yang ternyata diketahuinya di waktu yang akan datang. Selain itu, apa yang diketahui oleh seseorang individu, juga belum tentu diketahui oleh orang lain. Dengan demikian, jelaslah akal itu sifatnya terbatas dan relatif.

Imam Syafie dalam kitab al-Risalah mengatakan: “Tidak seorang pun boleh menyatakan sesuatu itu halal atau haram kecuali berdasarkan ilmu, dan ilmu itu diperoleh dari khabar dalam al-Quran, Sunnah Nabi, Ijma’ atau Qiyas. Inilah yang sepatutnya menjadi keutamaan iaitu nas-nas dirujuk dan menjadi keutamaan, bukannya akal diposisikan di tempat yang tertinggi melebihi nas. Kelak hasil hukum yang dikeluarkan pasti adanya bias kerana manusia tidak lari dari nafsu yang mengikut akal mestilah berpihak kepada kepentingan dirinya. Renung-renungkan.

Sumber: Jurnal al-Mawarid – Edisi XV


Comments