BOIKOT JANGAN SAMPAI MELANGGAR BATAS AGAMA!

 

Walaupun kempen boikot masih lagi dijalankan atas faktor kemanusiaan sejagat kepada saudara seagama kita di bumi Gaza, namun ia bukanlah tiket buat kita untuk menjadi seorang yang terlalu ekstrem terhadap agama dalam memboikot. 

Ini seperti yang terjadi terhadap tindakan beberapa individu yang mengaibkan dan mengganggu pelanggan yang sedang menunggu giliran membeli makanan secara pandu lalu (drive thru) di sebuah restoran rangkaian makanan segera yang termasuk dalam senarai syarikat yang diboikot. 

Dalam hal ini, beberapa perkara perlu ditekankan antaranya memboikot dengan ilmu dan akhlak, bukan memboikot dengan terburu-buru tanpa berfikir panjang sehingga mendatangkan kemudaratan. Tindakan memaki, merosakkan infrastruktur dan memviralkan pelanggan yang makan di restoran makanan segera tersebut adalah di luar batas akhlak dan undang-undang negara dan bukanlah satu perbuatan yang terpuji. Sabda Rasulullah SAW: 

"Janganlah kamu berlebih-lebihan dalam agama, maka sesungguhnya yang telah membinasakan umat sebelum kamu itu sikap berlebih-lebihan dalam agama." (HR al-Nasa'ie).

Bersikap keras dan berlebih - lebihan dalam beragama merupakan amalan yang bertentangan dengan roh dan maqasid syarak itu sendiri. Ia bukan lahir daripada ilmu pengetahuan, bahkan ia sebenarnya timbul daripada maklumat sedikit yang didapati secara tidak matang, kemudian diikuti sikap terburu-buru dan semangat yang berkobar-kobar. 

Oleh itu, dalam meneruskan amalan boikot ini, seseorang itu perlu mempunyai sifat sabar dan tenang kerana kedua-duanya merupakan satu sifat yang mulia dan menjamin keselamatan. Sebaliknya, sifat yang bertentang iaitu tergesa-gesa dan melulu adalah sifat yang tercela dan membawa kepada kecelakaan. Rasulullah SAW memerintahkan kita agar berdakwah dan mengajak orang kepada kebaikan dengan cara yang berhikmah dan nasihat yang baik. Firman Allah SWT: 

"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik." (QS al - Nahl: 125).

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Comments