CONTENT DUNGU DAN SAMPAH SEMAKIN MELIAR MENGAPA PERLU MENORMALISASIKAN PERKARA YANG SUDAH TERANG DAN JELAS DOSANYA?!
Semakin hari tanpa kita sedar kita ini sudah dibiasakan dengan content yang seakan – akan ingin mempermalukan diri sendiri dan juga menjadikan agama Islam ini satu bahan jenaka. Kerana apa? Kerana rata – rata yang terlibat dengan content sebegini sebilangan besarnya adalah umat Islam baik lelaki mahupun wanita. Di mana sifat malu kita? Tidak cukupkah agama Islam diinjak – injak oleh pembenci Islam, kita tambah lagi pula luka ini dengan content yang menjadikan agama kita ini bahan lelucon (lawak)?!
Hal ini seperti yang terjadi di mana satu saluran channel di Youtube di mana ia memaparkan satu program yang diberi nama ‘Hero Teladan’ di mana para peserta dikehendaki membuat kebaikan di setiap video berkenaan. Namun, apa yang mendukacitakan adalah tentang pergaulan bebas mereka apabila ditempatkan di dalam satu rumah hingga bercampur golongan ajnabi. Walaupun program itu telah dibatalkan serta – merta, namun kesannya masih terasa sampai ke hari ini apabila para netizen masih melontarkan komen yang kurang baik tentang pergaulan mereka di bawah satu bumbung. Bukankah Allah SWT telah memberi amaran dalam surah Al – Isra’, ayat 32 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
Seperkara lagi adalah tentang video yang viral di TikTok tentang seorang wanita yang dengan sengaja melangkahi kubur untuk tujuan content di media sosial. Walaupun klarifikasi telah dibuat oleh wanita tersebut dengan mengatakan kubur itu adalah palsu, tetapi persoalannya mengapa perlu dibuat content sedemikian? Bukankah kita sudah diajar tentang adab apabila di perkuburan? Bahkan Rasulullah SAW telah mengajarkan kita tentang adab di perkuburan menerusi sebuah hadis, mafhumnya:
“Rasulullah SAW mengajarkan kepada mereka, apabila mereka keluar untuk menziarahi kubur untuk mengucapkan: ‘Salam sejahtera ke atas kamu wahai penghuni kampung (kubur), daripada orang-orang Mukmin dan Muslim. Sesungguhnya kami dengan kehendak Allah akan mengikuti kamu. Kami memohon kepada Allah kesejahteraan bagi kami dan juga kamu.” (HR Muslim).
Tolonglah wahai para Muslimin sekelian! Sayangilah agama kita seperti nyawa kita sendiri. Cukup – cukup lah menormalisasikan perkara yang sudah terang dan nyata dosanya kerana ia akan menambahkan lagi keburukan kepada imej Islam. Ambillah ibrah atau contoh dari dua pembuat content terkenal, Khairul Aming dan juga Sofyank yang menyalurkan content sangat bermanfaat untuk seluruh masyarakat. Jadilah manusia yang boleh memberi manfaat kepada manusia lainnya seperti sabda Rasulullah SAW:
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lainnya.” (HR Ahmad).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment