Rentetan serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram yang didakwa angkara anggota Jemaah Islamiyah (JI), dapat digambarkan bahawa kumpulan pengganas Islam tersebut tidak akan pernah lenyap atau terhapus sepenuhnya sekiranya tidak ada pemantauan yang berterusan daripada pihak berkuasa. Meskipun pergerakannya tidak terlihat secara nyata, namun kemungkinan ideologi radikalnya terus tersebar dalam kalangan masyarakat khusuhnya generasi muda adalah tinggi.
Perkara utama yang didoktrinkan sudah pastinya adalah berkenaan konsep jihad. Penggunaan dan penafsiran yang sempit oleh golongan ekstremisme agama terhadap konsep jihad telah menyebabkan salah faham sehingga menterjemahkannya melalui tindakan melampaui batas sehinggakan memberi konotasi negatif kepada sebahagian masyarakat dunia terhadap Islam. Fahaman ekstremisme dalam kumpulan militan yang menggunakan alasan jihad untuk menghalalkan keganasan dilakukan kerana jahil agama. Sebagaimana pengertian jihad ditafsirkan semata-mata merujuk kepada peperangan mengangkat senjata. Inilah yang menyebabkan golongan tersebut sering melakukan pembunuhan, rampasan, pengeboman dan sebagainya.
Oleh itu, janganlah tergesa-gesa dalam mentakrifkan perkataan jihad dan menyamakannya dengan ideologi kumpulan-kumpulan pengganas kerana ia telah diselewengkan demi melunaskan ‘nafsu’ pemimpinnya. Bahkan jumhur ulama terkenal dunia menolak pengisytiharan ‘Dawlah Islamiyah’ yang kononnya disifatkan oleh gerakan-gerakan militan sebagai sebuah ‘kerajaan yang sah’, walhal ia sama sekali tidak mewakili keseluruhan umat Islam dan hanya mewakili kumpulan kecil umat Islam dari kumpulan pengganas itu sahaja.
Justeru itu, satu kefahaman yang betul perlu diterapkan oleh semua pihak khasnya ulama dan para pendakwah terhadap penggunaan istilah jihad supaya tidak disalah ertikan sebagai punca keganasan. Konsep jihad sangat luas dan terjemahan literalnya bermakna kesungguhan. Malah, jika diperhatikan dengan teliti kalimah berkaitan jihad yang disebut di dalam al-Quran mahupun hadis meliputi makna yang begitu luas bukan sekadar berperang. Renung-renungkan.
Sumber: Malaysian Journal of Media Studies, Vol.1 dan Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia –MEI 2024
Comments
Post a Comment