Kontroversi yang dicetuskan oleh sebuah syarikat pengangkutan awam berkenaan dengan “parti liar” yang dianjurkan mencetuskan kontroversi di kalangan semua pihak termasuklah rakyat Malaysia sendiri. Parti yang dinamakan sebagai Pinkfish Festival itu berlangsung pada 16 Mei lalu adalah sebahagian daripada pakej terbaru yang diperkenalkan syarikat pengangkutan berkenaan untuk urusan pakej Charter Train atau sewa tren khas, di mana individu atau organisasi boleh menyewa gerabak tren untuk sebarang aktiviti persendirian selagi ia tidak melanggar peraturan.
Bukan itu sahaja, kita dikejutkan lagi dengan penganjuran sebuah pesta yang dipanggil “Aloha Party” oleh sebuah resort di salah sebuah negeri di Pantai Timur. Penganjuran “parti liar” di sebuah negeri yang terkenal dengan cara hidup dan budaya Islamiknya memicu kemarahan rakyat negara ini apabila tular dalam sebuah video memperlihatkan peserta wanitanya memakai pakaian yang menjolok mata.
Walaupun siasatan sedang dijalankan oleh kedua – dua belah pihak dan kenyataan awal telah dikeluarkan berkenaan penganjuran kedua -dua festival ini, namun ia masih tidak memuaskan hati ramai pihak. Sebilangan netizen masih lagi mempersoalkan adakah penganjuran festival ini mengikut garis panduan yang ditetapkan memandangkan di video yang tular terlihat seorang peserta festival berkenaan memegang minuman yang disyaki minuman beralkohol dan rokok elektrik dan memakai pakaian yang tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.
Nampaknya semakin hari kehidupan masyarakat khususnya umat Islam semakin jauh dan terpesong dari ajaran Islam yang sebenar. Ini ditambah lagi dengan penganjuran festival muzik yang dilihat seperti sebuah “parti liar” mengundang pelbagai persepsi masyarakat bagaimana hal sebegini dibiarkan berlaku sedangkan majoriti daripada penduduk Malaysia ini beragama Islam. Tidak seharusnya negara yang menjadikan Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan menganjurkan aktiviti sosial seperti ini atau apa sahaja festival hiburan yang melampaui batas dalam pergaulan ajnabi. Imam an-Nawawi berkata:
“Dan tidak harus menyentuh wanita pada keadaan-keadaan tersebut iaitu ketika transaksi jual beli, serah terima barang, dan lain-lain.” (Al – Majmuk).
Walaupun ia mematuhi garis panduan yang ditetapkan, akan tetapi ingatlah syariat Islam masih lagi tidak membenarkannya. Apa akan jadi sekiranya penganjuran festival seperti ini diteruskan tahun demi tahun? Maka semakin ramailah belia Islam yang terpesong akidahnya dan lalai dengan kehidupan duniawi yang sementara ini.
Seharusnya pihak penganjur terlebih dahulu memikirkan risiko yang bakal dihadapi apabila acara sebegini diadakan. Ia bukan sahaja akan menggalakkan para belia untuk lebih mendekati zina, bahkan mungkin akan berlaku sebarang jenayah yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa. Ingatlah, jangan disebabkan keuntungan yang banyak di depan mata, maka akidah, keselamatan diri dan maruah para umat Islam yang menyertai tercemar.
Sumber: Portal Sumberkini (https://sumberkini.my/parti-liar-ktm-patut-selalu-lambat-sebab-bawa-dosa-sekali-netizen/)
Comments
Post a Comment