ISU PEMBANGUNAN KASINO IMPAK TERHADAP IMEJ ISLAM DI MALAYSIA

 

Sesuai dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan, bahawa Agama Rasmi Persekutuan bagi Malaysia adalah Islam, maka kita harus mempertahankan kedaulatan Islam dari terus dicemari dengan anasir – anasir yang dibawa oleh pihak luar dengan tujuan untuk menjatuhkan imej Islam Malaysia di mata dunia. Seperti isu yang hangat diperkatakan sekarang berkenaan dengan rancangan pembukaan kasino di Forest City, Johor. 

Walaupun hal ini telah dinafikan oleh kerajaan, namun sebagai umat Islam, langkah berjaga – jaga haruslah diutamakan dalam mengekang perkara ini dari terus berlaku. Sudah terlalu banyak “bala” yang menimpa di negara ini akibat dari ‘tangan rosak’ yang cuba menjatuhkan agama Islam. Bukan sahaja dari yang bukan Islam, malah umat Islam sendiri juga turut terlibat dan bersekongkol di dalam perkara ini. Jika hal ini terus berlaku, ia membawa impak negatif kepada imej Islam.   

Dalam hal ini, Masyarakat Islam di negara ini wajib mempertahankan agama Islam secara bijaksana dengan mengelakkan sebarang pertumpahan darah atau peperangan apabila agama itu diusik. Tanggungjawab membela Islam adalah merupakan suatu kewajiban bagi umat Islam. Barangsiapa membela agamaNya, maka Allah SWT pasti akan memberi pertolongan kepadanya, sepertimana FirmanNya:

“Wahai orang-orang Yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah (akan) menolong kamu (untuk mencapai kemenangan) dan (Allah) meneguhkan kedudukan kamu.” (QS Muhammad: 7).

Kita yang dilahirkan sebagai Muslim, sewajarnya mengambil berat tentang agama Islam, iaitu dengan cara kita mempelajari dan mengamalkan ajaran Islam, serta memelihara dan membela kesucian agama Islam dari dihina dan dikeji oleh orang - orang bukan Islam yang memusuhi Allah SWT dan RasulNya. Pada masa kini bilangan umat Islam begitu ramai, tetapi tidak lagi digeruni, ditakuti dan dihormati oleh orang-orang yang memusuhi Islam. Keadaan ini disebabkan umat Islam pada hari ini lalai daripada mengamalkan ajaran Islam, apatah lagi berjuang membela Islam dan penganutnya, serta lebih mementingkan keduniaan dan mencintai dunia.

Maka dari itu, umat Islam diseru untuk kembali mentaati ajaran Islam dan terus mempertahankan agama ini daripada diinjak. Cukuplah dengan apa yang berlaku kepada hari ini. Tinggalkan lah urusan dunia buat seketika dan kembali membela Islam. Kita marah apabila orang memperlekehkan agama kita, tetapi kita sendiri tiada usaha untuk mempertahankannya. Kembalikan semula imej Islam di negara ini agar dihormati oleh semua pihak.

Sumber: Jabatan Mufti Perlis


Comments